Sukan Olimpik: 264 atlet, pegawai terima suntikan vaksin COVID pada April


Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

26/02/2021 03:07 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb — Seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April depan.

Ia merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkakan pada Mei ini, kesemua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos kedua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

“Kami mengharapkan sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 akan berjaya divaksin, maknanya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai (kejohanan) dan bebas COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian antara Techninier Sdn Bhd dan Impact Integrated di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata meskipun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 untuk Sukan Olimpik Tokyo, pengambilannya dilihat mampu menjamin keselamatan serta tahap kesihatan atlet.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk menerima suntikan vaksin tersebut adalah bersifat sukarela.

“Pengambilan vaksin adalah secara sukarela, kami sediakan jika mereka (atlet) ingin divaksin dan terdapat beberapa prosedur serta borang perlu diisi, tetapi seperti disebut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini percuma dan secara sukarela, bukannya wajib.

“Saya yakin semua atlet akan memilih untuk divaksin kerana ia satu perkara yang memberi kedudukan mereka jauh lebih selamat,” katanya.

Minggu lepas, KBS mengesahkan senarai nama 4,000 atlet dan pegawai untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin COVID-19 dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di tanah air, Ahad lepas.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

— BERNAMA

Leave a Reply