Akibat dendam lama, lelaki maut dalam pergaduhan

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Gara-gara dendam lama, seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki lain di Jalan Telawi 2, Bangsar awal hari ini.

Sanjeet Kumar Morthi, 28, beralamat di Batu Caves, Gombak, mati ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala rakannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 1 pagi apabila Sanjeet terserempak dengan sekumpulan lelaki ketika dia dan rakannya berjalan ke tempat meletak kenderaan.



“Si mati cedera akibat ditoreh di bahagian badan menggunakan pisau dan ditikam dengan botol minuman keras. Dia melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah dan terjatuh di depan kedai serbaneka.

“Rakannya membawanya ke hospital namun dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata motif kejadian yang dirakam orang ramai dan tular menerusi media sosial itu dipercayai akibat dendam lama lelaki tersebut dan seorang daripada suspek.

Susulan kejadian itu, polis mengenal pasti lima orang yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut dan usaha mengesan mereka sedang djalankan, katanya.



— BERNAMA

Dendam dipercayai motif remaja parah ditetak



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button