Kerajaan Negeri Sembilan Hilang Ketika Rakyat Susah

Zaidy Kadir, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan

 

DI MANA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN KETIKA RAKYAT SEDANG SUSAH?

Angka jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan yang mencatatkan jumlah melebihi 1,000 kes hari ini merupakan satu berita yang amat membimbangkan rakyat di negeri ini.

Mana tidaknya, kebiasaannya kami di Negeri Sembilan hanya melihat Selangor dan Kuala Lumpur sahaja yang mecatatkan angka jangkitan Covid-19 melebihi 1,000 kes.



Hari ini ia berlaku di negeri kami.

Ini amat membimbangkan dan membingungkan rakyat di Negeri Sembilan.

Rakyat Diperintah Berkurung, Kerajaan Negeri Tidak Bantu

Sudahlah kita dipaksa untuk berkurung di rumah lebih dua minggu. Akibat daripada perintah berkurung oleh Kerajaan itu.

Ribuan rakyat kurang pendapatan malah lebih teruk dari itu, hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar rumah untuk bekerja.

Malangnya, pengorbanan rakyat yang tidak keluar rumah tidak menampakkan hasilnya. Kes harian semakin meningkat.

Di manakah salahnya? Adakah rakyat juga yang harus dipersalahkan?



Bantulah Rakyat Negeri

Bagi membantu rakyat, Kerajaan Negeri Sembilan seharusnya lebih proaktif dalam memikirkan jalan terbaik untuk sama-sama membantu rakyat yang kini makin tersepit.

Tersepit diantara bimbang dijangkiti Covid-19 dan juga ekonomi sendiri serta keluarga semakin terhimpit.

Maka, Kerajaan Negeri seharusnya janganlah hanya berpeluk tubuh.

Pesan Tok Mat Jangan Diabaikan

Seperti kata bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan, Kerajaan Negeri perlu menggunakan segala sumber yang ada untuk setidak-tidaknya meringankan beban rakyat.

Jangan hanya mengharapkan ihsan daripada Kerajaan Persekutuan. Apa guna adanya Kerajaan Negeri sekiranya tidak dapat membantu rakyat dalam saat pandemik ketika ini.

Berilah apa jua bantuan yang ada untuk disalurkan kepada rakyat. Daripada anak-anak dirumah, pelajar sekolah, mahasiswa mahasiswi, golongan belia hinggalah ke warga emas.



Wujudkan satu insentif yang boleh meringankan beban rakyat pelbagai lapisan di Negeri Sembilan.

Paling Pasif


Kerajaan Negeri Sembilan juga boleh dikatakan sebagai Kerajaan Negeri yang paling pasif antara semua Kerajaan Negeri yang di negara ini.

Sunyi sepi dan langsung tidak ada pengumuman-pengumuman yang membantu rakyat dan negara ketika saat pandemik ini. Kerajaan Negeri diam seribu Bahasa.

Mana MB & Exco Kerajaan?

Rakyat tertanya-tanya, di manakah Menteri Besar Negeri Sembilan? Wujud lagikah Exco-Exco Kerajaan Negeri?

Ketika di negeri-negeri lain, Kerajaannya sibuk mengumumkan usaha untuk membeli sendiri vaksin untuk rakyatnya.



Tetapi di Negeri Sembilan, langsung tidak ada inisiatif. Mungkin Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri hanya akan timbul berjumpa rakyat ketika Plihan Raya Umum sahaja.

Itupun sebab nak undi rakyat. Bukan nak bantu rakyat.

Desakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan mendesak supaya Kerajaan Negeri memulakan inisiatif bantuan kepada rakyat di Negeri Sembilan.

Bantulah rakyat yang semakin kurang hasil jualan perniagaan mereka. Bantulah rakyat yang hilang pekerjaan kerana syarikat-syarikat mereka bekerja ditutup.



Dan paling penting, berilah bantuan komputer percuma kepada pelajar-pelajar di negeri ini untuk mereka meneruskan persekolahan mereka secara dalam talian.

Ambil kiralah semua ini.

Tambah Pendaftaran Vaksin


Kerajaan Negeri juga perlu menggorak langkah untuk menambahkan jumlah pendaftaran vaksin di kalangan rakyat di negeri ini.

Sekali lagi diingatkan, jangan hanya harapkan Kerajaan Persekutuan semata-mata.



Gunakan segala jentera Kerajaan Negeri yang ada untuk turun ke kampung-kampung bagi memberi kesedaran kepada rakyat sekali gus membantu mereka untuk membuat pendaftaran secara dalam talian.

Lebih cepat rakyat berdaftar dan menerima vaksin, lebih cepatlah kita dapat mencapai imuniti berkelompok.

Paling penting, Kerajaan Negeri Sembilan jangan terlalu ego.

Kurangkan ego mintalah bantuan daripada Kerajaan Pusat segala apa jua keperluan yang negeri perlukan.

Percepatkan vaksinasi rakyat dan pada masa sama bantu rakyat sehabis mungkin.

Di samping itu, ketika saat inilah, Menteri Besar perlu bijak untuk menggunakan syarikat-syarikat Kerajaan Negeri supaya mereka juga berperanan dalam membantu.

Perhebatkan program-program tanggungjawab korporat (CSR) kerana inilah masanya syarikat-syarikat Kerajaan Negeri membantu rakyat.

Jangan hanya bangga umumkan keuntungan jutaan ringgit, tapi bila rakyat memerlukan, sikit pun tak bantu.

Jika enggan membantu, maknanya tidak ada bezalah antara mereka dengan kapitalis.

Gesaan Kepada MB Negeri Sembilan


Bangkitlah wahai Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Kejutkanlah Exco-Exco di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat yang sedang tidur itu. Rakyat perlukan Kerajaan Negeri ketika ini.

Janganlah bermegah-megah dengan pejabat dan rumah yang selesa, kereta yang besar sedangkan rakyat kini tertekan dengan pelbagai masalah ketika ini.

Bantulah rakyat kerana rakyat sedang susah. Tolonglah. Kami merayu.

17 JUN 2021

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading