Amerika Umum Peraturan Baru Kempen Imunisasi

 

Presiden Joe Biden semalam mengumumkan peraturan baharu yang ketat dalam kempen imunisasi COVID-19 kebangsaan, sekali gus bakal memberi kesan terhadap puluhan ribu pekerja di Amerika Syarikat (AS).

Biden turut membidas sebilangan rakyat negara ini yang enggan menerima suntikan vaksin dalam usaha memerangi pandemik itu.

Tindakan itu yang disifatkan paling agresif bagi mengekang penularan varian Delta di AS, setakat ini, membabitkan pelan enam perkara yang menyasarkan perniagaan mempunyai lebih 100 pekerja.

 



“Sekumpulan minoriti berbeza warga AS dengan sokongan sekumpulan minoriti berbeza pegawai yang dipilih, telah menyukarkan kita untuk melepasi situasi getir ini.

Yang Tidak Divaksin Penuhi Hospital


“Mereka yang tidak divaksin itu membanjiri hospital kita, bilik kecemasan dan unit rawatan rapi (ICU), sehingga tiada ruang untuk pesakit yang mengalami serangan jantung, pankreatitis ataupun barah,” kata Biden dalam ucapan dari Rumah Putih yang disiarkan stesen televisyen negara ini.

Peraturan baharu itu antara lain menetapkan syarikat swasta dengan lebih 100 kakitangan, perlu memastikan pekerja mereka divaksin ataupun menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan.

Langkah persekutuan itu dianggarkan bakal memberi impak terhadap 80 juta orang.

Malah, pelan itu turut mewajibkan semua kontraktor dan pekerja persekutuan untuk mendapatkan vaksinasi.

Penguatkuasaan vaksinasi sepenuhnya itu merupakan langkah lebih tegas berbanding ketetapan ketika ini yang mengehendaki penjawat awam menerima suntikan vaksin atau menjalani ujian saringan COVID-19 secara berkala.

17 Juta Dikehendaki Dapat Imunisasi

Kira-kira 17 juta petugas penjagaan kesihatan di fasiliti yang menerima dana program Medicaid atau Medicare daripada kerajaan, juga akan dikehendaki mendapatkan imunisasi COVID-19.

Pengecualian hanya dibenarkan atas alasan berkait agama atau bagi golongan kurang upaya.

“Ini bukan soal kebebasan atau pilihan peribadi. Ia adalah mengenai melindungi diri, orang di sekeliling, rakan sekerja dan insan yang anda sayang.

“Perkara pokok di sini ialah kita akan melindungi pekerja yang sudah divaksin daripada rakan sekerja yang belum divaksin.

“Kita akan mengurangkan penularan COVID-19 melalui usaha meningkatkan jumlah pekerja divaksin, dalam perniagaan di seluruh AS,” kata Biden.

Setakat ini, kira-kira 80 juta warga AS belum menerima suntikan vaksin COVID-19, dengan terdapat hasil kajian mendakwa ia cenderung membabitkan golongan lebih muda dan kurang berpendidikan. – AFP

Leave a Reply