Bukan daging rusa tapi daging kerbau

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan terdapat individu disyaki menjalankan perniagaan dan mempromosi produk daging rusa ‘palsu’ secara dalam talian melalui sebuah platform e-dagang.

Ia susulan aduan diterima seorang pengguna yang mendakwa peniaga terbabit bukan menjual daging rusa sebaliknya daging kerbau.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, berikutan aduan itu, peniaga terbabit sudah ditahan pihak berkuasa baru-baru ini.

 



Menurutnya, KPDNHEP menjalankan siasatan dengan membeli daging itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia Malaysia bagi ujian kecerakinan.

“Hasil laporan jabatan berkenaan mendapati sampel daging itu adalah daging kerbau berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sepasukan anggota Penguatkuasa KPDNHEP melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.

“Dalam serbuan itu, kita menemui beberapa ketul daging dalam sebuah peti sejuk beku masing-masing seberat satu kilogram. KPDNHEP menyita kesemua daging itu bersama dokumen perniagaan bagi tujuan siasatan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,000,” katanya.

 



Azman berkata, siasatan awal mendapati modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan, pada harga RM42 sekilogram.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317, emel e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre di talian 1-800-886-800 dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245,” katanya.

FMT

Leave a Reply