PH mungkin tolak Belanjawan 2022

 

Pakatan Harapan mungkin akan menolak Belanjawan 2022 jika kerajaan memberikan peruntukan besar kepada J-Kom, jabatan komunikasi masyarakat yang menimbulkan kontroversi.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen daripada PKR, yang terlibat dalam rundingan dengan Putrajaya mengenai belanjawan, memberitahu FMT bahawa PH akan mempertimbangkan peruntukan besar bagi J-Kom sebagai “penentu perjanjian”.

Katanya, PH menganggap jabatan itu tidak perlu dan akan meminta agar ia dilupuskan dan pegawainya diserap ke jabatan-jabatan lain yang “lebih berguna”.

Sebagai alternatif, katanya, ia boleh dibenarkan terus beroperasi namun dengan belanjawan yang lebih rendah, kira-kira RM3 juta setahun.

Ini mungkin jumlah yang akan dibelanjakan jabatan berkenaan tahun ini, tambahnya.

“Sebaliknya, belanjawan diperluas bagi J-Kom untuk 2022, seperti tahun lepas, mungkin akan menjadi penentu perjanjian,” katanya.

“J-Kom ditubuhkan seolah-seolah sebagai jabatan propaganda. Sama ada ini baik atau buruk bergantung kepada kandungan propaganda yang disebarkannya.

“Jika ada pengawasan Parlimen yang baik dan mesejnya tidak berat sebelah dari segi politik, ia dapat memainkan peranan positif dalam memupuk keharmonian dan pembangunan negara.

“Namun ia mesti beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil dan munasabah berbanding 2021.”

Dalam Belanjawan 2021, jabatan itu pada mulanya diperuntukkan RM85.5 juta, tetapi jumlahnya dikurangkan menjadi RM40.5 juta setelah menerima protes daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad minggu lalu mendedahkan, jabatan itu hanya membelanjakan RM2.18 juta setakat 26 Ogos.

Dari jumlah ini, RM1.78 juta dibelanjakan untuk emolumen, elaun dan tuntutan perjalanan bagi 52 kakitangan tetap dan 35 ahli MySTEP.

MySTEP adalah program Kementerian Kewangan yang melatih dan menyediakan penempatan jangka pendek untuk graduan.

Mengulas mengenai perbelanjaan yang rendah itu, Wong berkata, ia menunjukkan betapa tidak pentingnya J-Kom.

Katanya, sebahagian besar baki dana mungkin telah dialihkan ke program-program untuk memerangi Covid-19.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendesak Putrajaya mengkaji semula keperluan J-Kom wujud.

Pemimpin DAP itu berkata, lebih baik dana J-Kom dibelanjakan bagi kawasan-kawasan yang akan mencipta pekerjaan atau menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan.

Pada dasarnya, kata Santiago, J-Kom adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula, iaitu jabatan yang terlibat mengumpul risikan dan menyalurkan maklumat.

Tambahnya, ada kementerian dan agensi lain yang melakukan tugas serupa.

“Kita ada polis, tentera laut dan perkhidmatan perisikan lain untuk mengumpulkan maklumat atau risikan,” katanya.

“Kita sudah ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mempunyai jabatan sendiri setara J-Kom, yang mencapai masyarakat, serta mengumpulkan maklumat dan maklum balas untuk sistem ini.

“Peranan semua agensi yang tidak menyumbang kepada proses pemulihan negara harus dikaji semula.”

FMT

Leave a Reply