Kerajaan sementara Melaka kuasa terhad

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Ali

 

Kerajaan sementara Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjalankan tugas seperti biasa mengikut had tugasan yang ditetapkan, walaupun menerima reaksi berbeza daripada kalangan pemimpin politik tempatan.

Mesyuarat mingguan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) juga diadakan semalam dengan dipengerusikan Sulaiman selaku ketua kerajaan sementara dan dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Kamel Mohamad yang juga pentadbir kerajaan ketika ini.

Sulaiman ketika ditemui berkata, kerajaan sementara sudah pasti mempunyai had kuasa dalam setiap pengurusan dan pentadbiran.

Sehubungan itu, bagi memastikan kerajaan sementara berjalan lancar, Sulaiman bersama enam anggota EXCO lain akan membantu pentadbir dalam apa juga keadaan.

“Langkah itu bagi memastikan semua aktiviti terutama berkaitan kebajikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik selain memastikan segala bentuk projek pembangunan untuk kepentingan rakyat dipantau seperti biasa,” katanya selepas merasmikan Webinar Pelan Induk Keselamatan Pekerjaan 2021 peringkat negeri di Hotel MITC, hari ini.

Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka serta berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah ketua bagi kerajaan sementara Melaka ketika ini.

Kelmarin, Kamel dalam satu kenyataan memaklumkan, Sulaiman akan dibantu oleh Ahli EXCO sedia ada boleh mentadbir sementara negeri itu, kecuali mereka yang sudah meletak jawatan.

Walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus fungsi dan peranan kerajaan sementara, berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, kerajaan sementara hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

Sementara itu, Sulaiman berkata, Melaka dijangka memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan.

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 peringkat kebangsaan tempoh hari yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan Melaka sepatutnya beralih ke Fasa 4 bersama dengan Pahang minggu lalu.

“Namun, oleh kerana kes COVID di Melaka menunjukkan angka yang tidak menentu, maka peralihan fasa itu terpaksa ditangguhkan. Bagaimanapun, saya yakin kita akan melangkah ke Fasa 4 pada minggu ketiga bulan ini susulan kes di negeri ini menampakkan sedikit penurunan dan memenuhi kreteria yang ditetapkan,” katanya.

BH

Leave a Reply