Empat lelaki warga asing ditahan Polis

 

Taktik memproses arak tiruan dibawah tanah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, akhirnya terbongkar apabila empat warga asing ditahan dalam serbuan di pondok tidak bernombor Kampung Sungai Burung Pekan Nenas, Pontian, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu menahan tiga lelaki warga Vietnam dan seorang Myanmar berusia 19 hingga 44 tahun.

Katanya antara yang dirampas adalah 210 botol plastik 1.5 liter berisi cecair jernih disyaki samsu, 14 gelen bekas 20 liter berisi cecair disyaki samsu, 10 kotak mauripan, set memasak arak tiruan dan wang tunai RM1,000.



“Tangkapan arak tiruan ini dibuat di tempat proses bawah tanah yang kali pertama dikesan. Di bawah pondok di lokasi terdapat satu ruang bawah tanah yang tersembunyi dibuat khas seperti sebuah bilik tempat memproses arak tersebut.

“Dipercayai sindiket ini telah beroperasi setahun dan rampasan dianggarkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,992.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penjualan arak tiruan disekitar kawasan Pontian, Johor yang menyasarkan pekerja asing disekitar kawasan tersebut,” katanya.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Pontian untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Sementara itu, Dimin memaklumkan dalam serbuan berasingan, pegawai dan anggota Batalion 5 PGA turut menahan dua lelaki warganegara asing berumur 21 dan 29 tahun berhubung rampasan mercun.

Katanya serbuan dilakukan di sekitar Jalan Parit Hj Hashim, Simpang Renggam.

“Pelbagai jenis mercun dan rokok seludup dirampas dengan anggaran RM53,659.60.

“Hasil siasatan awal terhadap kesemua suspek dipercayai aktif membekalkan mercun dan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit sekitar kawasan Simpang Renggam.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran mercun dan rokok tidak bercukai disekitar kawasan terbabit.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kluang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207),”katanya.

awani

Leave a Reply