Sarang PATI diserbu

Sarang PATI diserbu
Anggota Imigresen menahan sebahagian pendatang asing tanpa izin di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Sarang PATI diserbu

KUALA LUMPUR: Beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita bersama bayi cuba melarikan diri sebaik menyedari rumah kedai didiami mereka di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, di sini diserbu pihak berkuasa.

Terdapat juga PATI bersembunyi di atas siling selain ada yang enggan membuka pintu menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa memotong mangga jeriji dan memecahkan pintu bilik.

Serbuan di bangunan itu dijalankan Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur pada jam 12.10 tengah malam tadi.



Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu sebelum melakukan risikan dan serbuan.

Menurutnya, Operasi Penguatkuasaan Imigresen dengan kekuatan 51 pegawai dan anggota memeriksa 150 warga asing.

“Hasil pemeriksaan, seramai 95 warga asing terdiri daripada Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Pakistan berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan.

“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tamat tempoh,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan.



Syamsul berkata, kesemua tahanan termasuk 52 lelaki dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, katanya, Imigresen juga sedang mengesan pemilik rumah kedai berkenaan bagi mengenal pasti sama ada mereka terbabit melindungi PATI dan tindakan lanjut akan diambil.

“Kebanyakan rumah di sini diubah suai dengan memasang dinding papan untuk dijadikan bilik-bilik kecil. Setiap rumah mempunyai tiga hingga lima bilik yang disewakan antara RM200 hingga RM400 sebulan.



“Keadaan rumah yang sempit dan padat itu juga amat berbahaya kepada penghuni sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Justeru, beliau akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan susulan.

Sarang PATI diserbu



Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami




Related Articles

Leave a Reply

Back to top button