4 terbunuh, 38 cedera ribut landa Turki

 

Sekurang-kurangnya 4 orang terbunuh dan 38 cedera pada Isnin apabila bandar metropolis Istanbul di Turki dilanda ribut dan angin kencang, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Setakat 8.30 malam (1730GMT), Pusat Panggilan Kecemasan 112 di Istanbul menerima 1,517 panggilan berkaitan ribut, lapor Agensi Anadolu memetik AFAD.

Perkhidmatan kecemasan bekerja keras mendapatkan bantuan untuk mangsa ribut, kata pejabat gabenor.

Bandar dengan lebih 15 juta penduduk itu mengalami angin kencang sejak pagi Isnin sehingga mengakibatkan pokok tumbang, bumbung rumah rosak dan sebuah menara jam runtuh.

Pegawai cuaca negeri berkata angin bertiup sekencang 129 kilometer sejam di daerah Beylikduzu, yang turut dilanda hujan lumpur semasa ribut.

Ribut mengakibatkan beberapa bot yang berlabuh di Maltepe dan Pendik mengalami kerosakan teruk, serta menyebabkan sebuah kapal kargo berlanggar dengan jeti di Pelabuhan Ambarli.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa membatalkan pengangkutan laut dan menutup Selat Bosphorus – yang menghubungkan Marmara dan Laut Hitam – kepada semua laluan kapal dari kedua-dua arah.

Akibat keadaan angin berbahaya, syarikat penerbangan Turkish Airlines mengarahkan sekurang-kurangnya enam pesawat yang tidak dapat mendarat di lapangan terbang itu untuk terbang keluar Istanbul.

Seorang pegawai dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar Turki akan terjejas oleh angin dan ribut kencang sehingga Selasa dan menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada bagi menghindari bahaya semasa cuaca buruk.

BERNAMA

Leave a Reply