Tak adil selindung bukti dalam perbicaraan Najib – Zaid Ibrahim

 

Bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim memberi amaran mengenai salah laku keadilan dalam perbicaraan Najib Razak berhubung kes SRC International di Mahkamah Rayuan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata mahkamah harus membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu.

Tambahnya, sebarang penyembunyian atau penyekatan bukti yang boleh membantu dalam pembelaan bekas Perdana Menteri itu, akan dianggap sebagai salah laku keadilan.

Semalam, media melaporkan peguam Najib telah memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu, beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan berhubung kes terbabit.

Bukti itu termasuk keterangan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan keterangan lanjut daripada pegawai penyiasat SRC Rosli Hussein atau orang lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongan usul itu, Najib berkata, ia dilakukan kerana semua isu yang dibangkitkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan belum diteliti sepenuhnya dan ia adalah untuk kepentingan keadilan supaya beliau mendapat perbicaraan secara adil dengan mengemukakan semua bukti.

Ia susulan pendedahan mengenai RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diperoleh semula daripada syarikat dikawal oleh suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz.

Najib berkata bukti tambahan itu perlu diambil daripada Azam dan Rosli kerana ia tidak disediakan ketika perbicaraan.

“Terdapat aspek dalam kes pendakwaan yang dilihat lemah,” kata Zaid.

“Keterangan penting berhubung pembayaran kepada suami Zeti tidak disediakan dalam pembelaan dan ia tidak selamat untuk mensabitkan Najib berdasarkan kes pendakwaan seperti yang dikemukakan.

“Dalam sistem keadilan jenayah kita, pihak pendakwaan tidak boleh sekali-kali menyekat atau menyembunyikan bukti yang akan membantu pembelaan. Ia akan menjadi satu salah laku keadilan.”

fmt

Leave a Reply