Hadi Awang Kata Muafakat Nasional Masih Ada Dan Tidak Berkubur

KUALA TERENGGANU: Muafakat Nasional (MN), gagasan kerjasama penyatuan ummah antara PAS dan UMNO masih wujud dan tidak berkubur seperti didakwa, demikan kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata MN akan terus diperkukuhkan manakala Perikatan Nasional (PN) tetap dipertahankan. Justeru, perbincangan dan perjumpaan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti tetap diadakan.

“Setakat ini MN bukan sahaja belum berkubur, malah hubungan antara kepimpinan kedua-dua parti masih diteruskan,” katanya selepas majlis penutup Sambutan Ulangtahun PAS ke-70, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas mengenai hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa dingin sejak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menafikannya sambil mengakui tiada keretakan hubungan berlaku.

“Kita sering berjumpa dan berbincang serta bertukar-tukar pendapat termasuk ketika di Parlimen. Hubungan kami masih erat walaupun ada yang mendakwa MN sudah berada di penghujung jalan,” katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan, PAS akan terus mengamalkan pendekatan berdamai dengan semua parti Melayu dan Islam, melainkan dengan parti ekstrem.

Katanya, PAS tidak mempelawa Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menyertai MN susulan pemimpin parti itu bersengkokol dengan DAP yang mengamalkan sikap ekstrem.

Leave a Reply