PM umum berita besar buat anak peneroka hari ini

Idris (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk di majlis itu. Foto: Bob

Kota Tinggi: Satu pengumuman besar akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai lot tanah generasi kedua Felda hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran pengumuman berkenaan.



Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditemui pemberita semasa program kempen bersama calon Barisan Nasional (BN), Fauziah Misri, di Dewan Besar Felda Air Tawar 2.

Isu perumahan generasi kedua Felda menjadi salah satu ‘panas’ yang digunakan parti pembangkang semasa berkempen sepanjang Pilihanraya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

Mengulas mengenai masalah sama, Idris berkata, isu pembinaan terbengkalai dalam Projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF), hanya membabitkan dua kawasan di Johor iaitu di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak.

“Usaha menyelesaikan isu berkenaan akan dilakukan dengan menggunakan kaedah baharu yang berlainan dengan cara digunakan sebelum ini.



“Dahulu kita selesaikan bagi pembinaan yang sudah 70 peratus ke atas dan sekarang kita selesaikan yang sebelumnya.

“Ada rumah yang kini telah diduduki sebenarnya. Jadi, ini isu lama yang kita sedang usahakan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, secara keseluruhannya, Felda telah menunjukkan peningkatan dalam operasinya antaranya berkaitan kejayaan menyelesaikan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Proses pengambilan semula aset tanah dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) FGV Holdings Berhad (FGV) juga telah mencapai sebanyak 80 peratus,” katanya.



Pada Oktober 2020, Felda mengumumkan bahawa agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button