Benzema pemusnah harapan Chelsea

Madrid: Kecemerlangan Luka Modric dan penyudah berbisa Karim Benzema menamatkan kebangkitan sensasi Chelsea untuk Real Madrid memenangi aksi suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 5-4 awal pagi tadi.

Chelsea mengatasi defisit 3-1 dimiliki Madrid pada peringkat pertama di Santiago Bernabeu hasil jaringan Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner yang meletakkan juara Eropah itu di ambang kemenangan.

Tetapi Modric berusia 36 tahun menampilkan kebijaksanaan dengan membuat hantaran menarik kepada Rodrygo yang meledak voli bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.



Selepas mencipta hatrik di Stamford Bridge, Benzema sekali lagi muncul pemusnah apabila menanduk masuk gol kedua untuk agregat 3-2 yang membolehkan Madrid mara ke separuh akhir.

“Anda mungkin terfikir segalanya sudah berakhir,” kata Carlo Ancelotti selepas tamat perlawanan. “Sukar saya jelaskan tetapi berlaku keajaiban di stadium yang membantu anda.”

Sejurus tiupun wisel, Modric dan Benzema terbaring di padang dengan gabungan usia kedua-duanya mencecah 70 tahun memberikan Real Madrid mengintai trofi Piala Eropah ke-14.

Mereka akan menentang sama ada Manchester City atau Atletico Madrid di saingan empat terakhir.



Selepas dimalukan Brentford dan tewas kepada Madrid pada peringkat pertama minggu lalu, Chelsea kembali garang dengan meledak gawang Southampton enam kali dalam aksi Liga Perdana minggu lalu.

Thomas Tuchel kelmarin berkata, mereka perlukan ‘skrip fantastik’ untuk mencipta keajaiban dan mereka hampir melakukannya namun gagal mengekang Modric dan Benzema.

“Kami tidak bernasib baik, itu sebabnya kami kecewa,” kata Tuchel. “Kami tewas kerana kualiti individu dan silap sendiri tetapi kami sepatutnya mara.”

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading