NADMA mesti bentang pelan mitigasi banjir

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan menggesa agensi kerajaan membentangkan pelan mitigasi banjir pusat bandar raya dengan segera.

Ketuanya, P Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu, berkata agensi kerajaan mengambil masa yang lama untuk membentangkan laporan terbabit, seperti dijanjikan di Dewan Rakyat, Januari lalu.

“Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menyatakan negara masih belum mempunyai Akta Pengurusan Bencana. Kerajaan sedang mempercepat penggubalan akta itu, namun sehingga kini, tidak tahu hasil datanya.

“Berapa lama sebenarnya masa yang perlu diambil untuk mengkaji isu banjir ini? Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga seolah-olah masih belum bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir.

“Malah, sangat menghairankan apabila kerajaan masih gagal mengoptimumkan fungsi Jabatan Meteorologi (METMalaysia) untuk memberi amaran awal kepada rakyat di sesetengah kawasan mengenai perubahan cuaca.

Semalam, BH melaporkan, beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira sejam.

Antara laluan sesak dan dinaiki air ialah Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Semantan, Jalan Pintasan Gambut, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn dan Jalan Merdeka.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk pada waktu puncak orang ramai pulang dari tempat kerja.

Sementara itu, Prabakaran turut mempersoal kelewatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Kerja Raya membentangkan hasil siasatan mengenai isu banjir kilat di ibu negara.

“DBKL turut menubuhkan Task Force Banjir Kilat dan meluluskan dana bernilai RM25 juta bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur bersama Institut Kerja Raya Malaysia yang dilaporkan akan dibentangkan April ini. Namun, sehingga sekarang tiada khabar berita mengenainya.

“Saya mendesak DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia untuk mengeluarkan hasil siasatan dijalankan seperti dijanjikan pada Februari lalu.

“Jangan lakukan kerja hangat-hangat tahi ayam saja. Pada akhirnya, tiada perkembangan mengenai apa yang dijanjikan,” katanya.

BHOnline

 

Leave a Reply