‘Saya bersyukur dia menyelamatkan saya daripada makan tanah’

Seremban: Tinggal dalam rumah usang bersendirian yang dipenuhi sampah berikutan penghuninya menghidap pelbagai penyakit.

Itu nasib dialami, Muhamad Haron, 73, yang berdepan penyakit tekanan darah tinggi dan gout selain tidak berupaya membersihkan rumahnya di Rumah Rakyat Panchor di sini, yang dipenuhi sampah selain kipas serta lampu tidak berfungsi dan atap bocor.

Muhammad berkata, dia bergantung hidup hasil jualan kelapa dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan kerana tidak mampu bekerja, malah kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak di dalam rumah.

Dia berkata, pada Ramadan lalu, dia hampir kehabisan makanan namun kehadiran sukarelawan yang datang menghulurkan bantuan menyebabkan dia terharu.

“Saya lebih suka tinggal bersendirian dan tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana saya bebas bergerak. Saya mempunyai anak dan mereka ada mengajak tinggal di rumah mereka, tapi saya menolak.

“Saya tidak mahu meminta-minta dan bersyukur dengan apa yang ada. Saya tidak kisah hidup begini kerana percaya dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Wartawan yang masuk ke rumah lelaki berkenaan turut merasa sebak dengan keadaan kediamannya yang kotor dengan lantai dipenuhi pasir serta keadaan tempat tidur yang tidak bersih.

Muhammad berkata, dengan bantuan JKM, dia membeli lauk untuk berbuka puasa dan bersahur.

“Namun baru-baru ini makanan di rumah saya habis dan saya buntu untuk mengisi perut ketika berbuka puasa.

“Saya terfikir dan hampir-hampir nak makan tanah. Namun puan Fadilah (Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor) datang memberikan wang untuk membeli makanan. Saya bersyukur dia menyelamatkan saya daripada makan tanah,” katanya.

Sementara itu, Norfadilah berkata, Perkasih N9 dengan beberapa agensi sukarelawan lain sudah dua kali membersihkan kediaman lelaki itu dan akan meneruskan usaha itu selepas Aidilfitri kerana banyak yang perlu dibersihkan dan diperbaiki.

“Muhammad mempunyai masalah untuk tidur pada waktu malam, jadi dia tidur dan berehat pada waktu siang. Ia menyukarkan kami untuk membersihkan rumahnya dalam tempoh satu hari sahaja.

“Terbaru seramai 25 sukarelawan daripada Perkasih N9, Amal Team Seremban, Kelab Kebajikan Patologi HTJS dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Seremban bergabung membersihkan rumah warga emas ini sebelum Aidilfitri yang lalu.

“Kami membaik pulih atap, lampu dan kipas, membuang sampah, menukar katil dan membersihkan laman rumahnya. Kami juga menyerahkan sumbangan wang tunai serta memberikan baju raya kepadanya,” katanya.

METRO

Leave a Reply