‘Perang’ raih sokongan pemilihan PKR 2022 bermula

Pemilihan PKR yang membuka tirainya hari ini, bakal menyaksikan persaingan sengit antara 11,282 calon bagi merebut pelbagai jawatan termasuk peringkat
tertinggi parti serta cabang dan sayapnya.

Pemilihan PKR kali ini dianggap mencabar, memandangkan jangkaan tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijadual diadakan dalam tempoh terdekat, sekali gus memberi ruang waktu terhad untuk parti itu menyusun jenteranya bagi menghadapi ‘peperangan’ sebenar.

Tumpuan pemilihan PKR 2022 pastinya terarah kepada saingan jawatan nombor dua dan empat jawatan Naib Presiden, selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini.



Siapa regu Anwar, juga Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu, yang akan bersama mengemudi PKR mendepani PRU ke-15, segalanya akan
terjawab secara rasmi menjelang tengah malam
22 Mei ini.

Memasuki tempoh pengundian hari ini, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sudah mula mengulangi ‘strategi’ lamanya, dengan mempersoal keabsahan anggota parti layak mengundi.

Beliau mendakwa, ada 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara, sekali gus membuka persepsi baharu dalam kalangan penyokongnya, untuk mempersoal sama ada daftar pemilih sedia ada benar-benar telus dan bersih atau sebaliknya.

Bagi saingannya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, rentak kempennya lebih bersahaja dan tenang, namun dilihat jauh mendahului dari segi capaiannya untuk bertemu ahli akar umbi.



Berbekal kelebihan sebagai Setiausaha Agung PKR dan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin lebih mudah mendampingi ahli khususnya pemimpin di peringkat cabang dan ranting, biarpun dilihat lebih memilih jalan selamat, dengan mengelak sebarang bentuk pertikaman dengan pesaingnya.

Gandingan Saifuddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, yang akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR, di bawah pasukan ‘Kita Semua Keadilan’, turut dilihat memberi kelebihan kepadanya.

Ini kerana, seramai 40 peratus daripada 1.2 juta ahli PKR di seluruh negara ketika ini, berada di Selangor.

Justeru, peranan Amiruddin sebagai Menteri
Besar dan pemimpin utama PKR Selangor, secara tidak langsung mampu memberi kelebihan undi kepada Saifuddin.



Bagi saingan Naib Presiden, selain Amiruddin, peluang cerah juga mampu diraih beberapa calon, antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Namun, nama Aminuddin berada dalam pasukan Rafizi, sekali gus memerlukan beliau berkerja keras bagi meraih sokongan lebih kuat di luar Negeri Sembilan.

Nama besar lain dijangka memberi saingan kuat bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR, termasuklah Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Papar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang turut dikaitkan dengan pasukan Saifuddin.

Selain itu, turut berpotensi meraih undi tinggi, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr G Gunarajah.



Apa pun keputusannya pada 22 Mei ini, PKR perlu mengelak berulangnya siri perpecahan
dalaman parti.

Jika tidak, parti yang sudah menjangkau usia 23 tahun ini akan berdepan laluan sangat sukar untuk bangkit dan memberi tentangan kuat pada PRU-15 kelak.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button