Sabah catat kes HFMD yang tinggi

Kota Kinabalu: Sabah mencatat peningkatan kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang sangat tinggi dengan sebanyak 2,834 kes direkodkan dari Januari hingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah itu jauh berbeza berbanding hanya 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, sebanyak lima daerah mencatat kes tertinggi setakat ini, iaitu Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).



Beliau bagaimanapun berkata, tiada kes kematian disebabkan HFMD dilaporkan di Sabah, setakat ini.

“Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Rose Nani berkata, penyakit HFMD kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan di dalam mulut.

Katanya, penyakit itu disebabkan virus (kumpulan enterovirus) HFMD yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada mereka yang dijangkiti.



“Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti HFMD dan selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama,” katanya.

Dr Rose Nani turut menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam pencegahan HFMD dengan memastikan langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dilaksanakan sepanjang masa.

Katanya, ia termasuk membasuh tangan dengan sabun sebelum makan, ketika mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas, mencuci dan melakukan disinfeksi bilik air, mainan dan barangan lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman.

“Jangan berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi dan elakkan memeluk dan mencium anak yang dijangkiti.



“Ibu bapa perlu membawa anak yang mempunyai tanda dan mengalami gejala jangkitan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dan tidak menghantar anak yang dijangkiti ke tempat awam dan pusat pendidikan awal,” katanya.

Pada masa sama katanya, JKNS turut meminta pengusaha pusat jagaan kanak-kanak atau tadika untuk melaksanakan tindakan pencegahan bagi mengelak penularan HFMD di premis masing-masing.

Katanya, antara yang wajib dilakukan ialah saringan gejala atau simptom di pintu masuk premis seperti demam, ulser pada tekak, mulut dan lidah, ruam dengan lepuh pada tapak tangan dan kaki, sakit kepala dan hilang selera makan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button