Selangor, Negeri Sembilan sepakat tanam jagung

SHAH ALAM: Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin di Gemas, Negeri Sembilan dan Kuala Langat Selatan dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import itu sehingga dua hingga tiga peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek tanaman itu adalah usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Projek ini sebagai tanda komitmen untuk menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan jagung bijirin import.

“Projek di atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) itu akan bermula sebaik kerja pembersihan selesai yang dijangka pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Rentas Negeri di antara PKPS dan MBINS bagi tanaman jagung bijirin menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma PKPS, di sini petang semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengarah Urusan, MBINS, Datuk Mohd Khidir Majid.

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata, usahasama itu sebahagian iltizam untuk menstabilkan harga makanan ayam, khususnya di kawasan Lembah Kelang.

Yang turut hadir, Menteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Apabila siap kelak, projek ini mampu menghasilkan sebanyak kira-kira 5,490 tan jagung bijirin setiap tahun untuk dipasarkan kepada pemain industri ternakan tempatan.

“Dengan harga pasaran semasa iaitu RM1,950 per tan, usahasama ini berupaya menjana pendapatan sebanyak RM10.7 juta setahun.

“MoU ini akan diperluaskan lagi menerusi dokumen perjanjian yang lebih terperinci bagi meneroka potensi khusus membabitkan tanaman makanan ternakan lain,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply