Wanita cedera ditikam anak ketika tidur

PASIR PUTEH: Seorang wanita parah ditikam anak lelakinya yang berusia 14 tahun ketika mangsa sedang tidur di rumahnya di Bukit Yong, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam dengan wanita berusia 41 tahun kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian berlaku ketika mangsa tidur bersama suspek di sebuah bilik sama sebelum tiba-tiba terasa sakit.



“Sejurus tersedar mangsa mendapati sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.

“Mangsa kemudian tidak sedarkan diri selepas mencabut sendiri pisau terbabit pada dadanya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, doktor memaklumkan kesan tikaman mengakibatkan paru-paru mangsa bocor sebelum dia dirujuk ke HUSM susulan kehilangan darah yang banyak.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa ditikam suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur rumah.



“Suspek yang juga anak ketiga dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pasir Putih dikatakan mengalami demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.

“Susulan kejadian itu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya mengesahkan motif kejadian masih dalam siasatan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button