Paris sedia hadapi ‘penaklukan’ penyokong Liverpool

PARIS: Kira-kira 7,000 polis akan bertugas untuk mengawal penyokong pada final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini ketika sekitar 40,000 penyokong Liverpool yang tidak memiliki tiket dijangka akan memenuhi bandar berkenaan kata pihak berkuasa.

Perlawanan antara Liverpool dan Real Madrid pada awalnya dijadualkan berlangsung di Saint Petersburg tetapi ibu kota Perancis itu menggantikannya apabila UEFA menggantung bandar Russia itu kerana pencerobohan ke atas Ukraine.

Hanya sekitar 20,000 penyokong masing-masing dari Liverpool dan Real secara rasmi boleh menyaksikan perlawanan itu di Stade de France.



Pihak berkuasa di Paris sudah menyediakan kawasan luas untuk 45,000 penyokong Liverpool sepanjang Cours de Vincennes, kawasan utama dekat timur Paris, 10 kilometer dari stadium.

“Ia bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” kata timbalan Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire.

Taman kedua dekat kejiranan di utara Saint-Denis berdekatan Stade de France dikhaskan buat penyokong Real Madrid yang memiliki tiket.

Zon berkenaan kemudiannya akan dibuka kepada penyokong tempatan selepas penyokong Real masuk ke stadium.



Alkohol tidak dibenarkan di sekitar kawasan Stade de France tetapi penyokong dibenarkan minum ketika perlawanan dalam stadium itu sendiri.

Champs-Elysees, satu daripada kawasan paling ramai dikunjungi di Paris, akan ditutup kepada penyokong dari England dan Sepanyol pada petang perlawanan dan tidak boleh minum minuman keras di dua lapangan terbang utama bandar berkenaan hujung minggu ini.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button