Juara Sepanyol, Eropah disambut meriah

MADRID: Presiden Real Madrid Florentino Perez mahu pasukan memberikan tumpuan untuk memenangi Piala Eropah ke-15, ketika pemain-pemain meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah di ibu kota Sepanyol itu.

Real menewaskan Liverpool 1-0 di Stade de France awal pagi semalam, dengan Vinicius Junior meledak gol tunggal permainan untuk memastikan gelaran kelima mereka dalam saingan itu sepanjang sembilan musim lalu.

Skuad juara Eropah itu mengelilingi kota bersama piala ke-14 mereka dan disambut meriah ribuan penyokong di Madrid.



“Real Madrid melakar sejarah sekali lagi dan ini adalah Piala Eropah ke-14 serta trofi La Liga ke-35. Kejuaraan Eropah ini, dimenangi ke atas kelab legenda seperti Liverpool, akan sentiasa diingati sebagai salah satu sejarah hebat Liga Juara-Juara.

“Legenda kelab ini semakin berkembang. Kami menewaskan empat pasukan terbaik Eropah dengan berjuang dan percaya diri hingga ke akhir.

“Ia musim yang cukup indah dan dicapai dalam saat paling menarik serta sukar sepanjang sejarah kami. Lima Liga Juara-Juara dalam lapan tahun ialah sesuatu yang sukar dilupakan oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Madrid kekal selamanya. Dan sekarang ayuh kita buru yang ke-15,” kata Perez yang turut menghargai pencapain pengendalinya Carlo Ancelotti – pengendali pertama memenangi empat trofi Liga Juara-Juara dan kesemua lima liga tertinggi Eropah.



“Dia melambangkan apa itu Real Madrid,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button