Pembantu sekolah capai status ‘Iron Butt Malaya’

BEHRANG: Seorang penunggang motosikal berhasil menamatkan cabaran Iron Butt Malaya atau ‘Buntut Besi’ dengan menunggang motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 1,600 kilometer (km) dalam tempoh kurang 24 jam kelmarin.

Sepanjang cabaran itu, pembantu operasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020, Mohd Shahrul Mohd Darus, 42, menunggang motosikal Modenas Dominar 400cc.

Beliau memulakan misi menunggang secara solo kira-kira jam 9.59 malam pada hari Jumaat dari Stesen Minyak Petronas Taman Dagang dekat Ampang, Selangor di sini, sebelum tiba kembali di stesen sama pada jam 8.37 malam pada Sabtu.



Mohd Shahrul berkata, ketika berlepas dari stesen minyak terbabit beliau diiringi seorang rakan sehingga susur masuk Plaza Tol Sungai Buloh.

Katanya, dari situ beliau meneruskan misi secara solo menunggang motosikal berkenaan dengan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara sebelum berhenti berehat dan mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Simpang Pulai, Perak.

“Saya tiba di stesen minyak berkenaan pada jam 12.02 tengah malam dan sepanjang perjalanan aliran trafik agak sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.

“Dari situ, saya meneruskan perjalanan ke Kedah melalui Pulau Pinang sehingga sampai di Stesen Minyak Taman Ria , Sungai Petani pada jam 2.22 pagi,” katanya.



Acara pelepasan misi Iron Butt Malaya itu disempurnakan pemilik Stesen Minyak Petronas Taman Dagang, Ampang, Datin Fazmi Sani.

Di samping itu, beliau juga menerima tajaan alatan dan kelengkapan dari pihak lain bagi menjayakan misi berkenaan.

Mohd Shahrul berkata, dari Sungai Petani, beliau meneruskan tunggangan ke Grik, Perak dan berhenti sebentar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perah sebelum melewati perjalanan mendaki Banjaran Titiwangsa.

“Dalam kegelapan awal pagi, saya bersyukur sebab ramai pemandu lori memberi kerjasama dengan memberi laluan kepada saya sebelum sampai di Stesen Minyak Petronas Bukit Bunga pada jam 6.30 pagi.



“Selepas berehat dan memeriksa motosikal di situ, saya meneruskan perjalanan ke Batu Rakit, Terengganu dan sampai di Stesen Minyak Batu Rakit pada jam 9.06 pagi.

“Sepanjang perjalanan, saya terserempak konvoi penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke Kelantan Bike Week. Mereka memberi isyarat tangan sebagai sokongan kepada saya,” katanya.

Katanya, beliau seterusnya beliau menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) ke Kuantan sebelum menuju ke Mersing, Johor melalui Bandar Muadzam sehingga ke Stesen Minyak Petronas Tanjung Gemuk, Rompin sehingga ke Mersing.

Kemudian, beliau menggunakan Plaza Tol Air Hitam melalui lebuh raya sehingga berhenti rehat dan mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas di R&R Air Keroh-Senawang pada jam 6.03 petang.



“Memandangkan masa semakin hampir lalu saya menghubungi seorang rakan supaya menunggu ketibaan saya di R&R Nilai bagi mengiringi saya menuju ke Ampang kerana takut tersesat jalan.

“Dalam perjalanan ke tempat penamat misi, saya sempat singgah di Dataran Merdeka dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan sampai kira-kira jam 8.37 malam kelmarin di lokasi pelepasan,” katanya.

Ketibaan beliau disambut kakitangan stesen minyak terbabit dan rakan-rakan yang memberi sokongan bagi menjayakan misi menunggang motosikal secara solo berkenaan.

Bersyukur kerana berjaya menamatkan misinya itu, beliau berazam menunggang motosikal secara solo membabitkan perjalanan sejauh 2500km dalam tempoh masa kurang 36 jam pada masa depan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button