Ayuh benam Jepun

Kuala Lumpur: Misi wajib menang menjadi agenda utama Malaysian Tigers pada pertemuan menentang Jepun esok dalam usaha untuk ke final Super 4 Piala Asia 2022.

Justeru pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj menekankan pemain untuk memperkuatkan ‘mindset’ apabila turun beraksi dalam pertarungan penting itu nanti.

“Kita perlu menang dan mesti menang dan berusaha untuk menang. Saya mengharapkan kepada semua untuk terus percaya dan menyokong kami kerana kami akan berjuang sehingga penamat,” kata Arul.



Semalam, skuad hoki negara terikat 3-3 dengan India dalam aksi kedua saingan Super 4 yang menyaksikan Muhammad Razie Abd Rahim meledak hatrik masing-masing pada minit ke-12, 21 dan 56.

Sebelum itu, anak buah Arul terikat 2-2 dengan Korea Selatan menerusi jaringan Razie dan juga Mohamad Ashran Hamsani pada aksi pertama.

Selepas dua perlawanan berkenaan Arul mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu dikaji bagi memastikan ia tidak berulang pada perlawanan ‘hidup mati’ bertemu Jepun.

“Perlawanan sebelum ini memberi petunjuk baru dan apa yang perlu dibuat oleh pemain terutama pada suku ketiga.



“Kenapa pada suku ketiga itu aksi mereka mula menurun. Itu yang saya lihat kelemahan kita kerana pemain tiada masalah mengenai permainan hoki mereka tapi mereka bermasalah dari sudut berkenaan.

“Seperti yang saya katakan, kalau kita bermain dengan bagus kita harus menang.

“Sama seperti perlawanan dengan Korea, kita main dengan baik tapi tak menang. Jadi kita perlu belajar daripada itu,” katanya.

Malaysia kini berada di tangga ketiga daripada empat pasukan dengan mengumpul dua mata dan kemenangan ke atas Jepun serta keputusan aksi Korea Selatan dan India bakal mencerahkan peluang untuk skuad negara beraksi di pentas final Piala Asia 2022.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button