La Liga heret Mbappe, PSG ke UEFA

MADRID: Presiden La Liga, Javier Tebas berkata Liga Sepanyol akan mengemukakan aduan rasmi kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam ‘satu atau dua hari’ mengenai kontrak baharu Kylian Mbappe bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Tebas berkata adalah ‘mustahil tiada penipuan’, merujuk kepada peraturan permainan adil kewangan UEFA, dan menegaskan La Liga “tidak akan membenarkan kelab Eropah memusnahkan ekosistem bola sepak Eropah.”

Mbappe menolak tawaran Real Madrid dengan menandatangani kontrak baharu tiga tahun bersama PSG minggu lalu, yang menyaksikan Tebas melabelkan perjanjian itu adalah “penghinaan kepada bola sepak” memandangkan kerugian kewangan kelab Perancis itu.



PSG mengalami kerugian 224.3 juta euro (RM1.054 bilion) pada 2020/21, meningkat 80 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan tahunan pihak berkuasa kewangan bola sepak Perancis (DNCG) awal bulan ini.

“Kami sudah merangka mengenai aduan berkenaan dan sedang menyemaknya,” kata Tebas sambil menambah ia akan dihantar dalam ‘satu atau dua hari’ lagi.

La Liga memperkenalkan sistem sekatan perbelanjaan yang ketat pada 2013, termasuk belanjawan yang dikenakan ke atas setiap kelab Sepanyol bergantung pada keadaan kewangan mereka.

La Liga menegaskan kawalan meningkatkan keseimbangan persaingan liga dan menggalakkan kelab untuk menggunakan pendekatan jangka panjang untuk perbelanjaan.



“Kami tidak akan membenarkan kelab Eropah memusnahkan ekosistem bola sepak Eropah,” kata Tebas.

“Kita tidak kisah siapa pemiliknya, yang menjadi masalah ialah sikap pemilik kerana tiada had, kerugian tidak mengapa, mereka membelanjakan wang sebanyak mana mereka mahu, mereka menipu dengan tajaan, itu masalahnya.”

Presiden UEFA Aleksander Ceferin dalam temu bual dengan AFP di Paris Jumaat lalu menolak kritikan La Liga terhadap perjanjian baharu Mbappe.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button