Katering buat hal, nak jamu makan apa?

Kulai: “Kami kusut apabila syarikat katering membatalkan tempahan makanan beberapa jam sebelum majlis perkahwinan bermula,” kata pasangan pengantin baharu, Muhammad Khairun Nazri Mohammad, 24, dan pasangannya Fatin Zahira Rosli, 26.

Menurut Muhammad Khairun, sikap tidak bertanggungjawab syarikat katering itu menyebabkan kelancaran majlis mereka di Taman Putri, Kulai di sini, terganggu.

“Bayangkan pada jam 7 pagi, syarikat katering membuat panggilan telefon memaklumkan tidak sempat menyiapkan makanan kerana mengambil tempahan daripada lima majlis keramaian secara serentak.



“Kami tidak mengenali syarikat katering yang difahamkan beroperasi di Segamat itu sebaliknya semuanya diatur oleh syarikat perancang perkahwinan.

“Cubaan kami mendapatkan penjelasan daripada syarikat perancang perkahwinan gagal malah mereka hanya membayar RM3,000 daripada RM16,700 yang dibayar untuk penyediaan makanan,” katanya.

Muhammad Khairun Nazri berkata dia dan pasangannya bagaimanapun bersyukur apabila saudara-mara yang hadir sanggup menawarkan bantuan dengan bergotong-royong menyediakan makanan pada saat akhir.

Katanya, dengan bantuan itu majlis perkahwinan mereka dapat diteruskan dengan kehadiran 1,000 tetamu.



“Kami difahamkan syarikat katering berkenaan juga melakukan perkara sama terhadap dua lagi pasangan,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan menerima laporan daripada pasangan berkenaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button