Wanita sarat mengandung ditahan edar syabu

KANGAR: Meskipun dalam keadaan sarat mengandung enam bulan, seorang wanita di sini masih meneruskan kegiatan menjadi pengedar atau tokan dadah bersama suaminya di sekitar pelantar ikan Kuala Perlis di sini.

Kegiatan mereka terbongkar apabila pasangan suami isteri itu ditahan dalam serbuan polis terhadap rumah mereka dekat Simpang Empat di sini pada Isnin lalu, yang membawa kepada rampasan syabu seberat kira-kira 39.73 gram (gm) bernilai lebih RM3,972.

Pasangan berusia 35 dan 33 tahun itu ditahan sekitar jam 12.10 tengah malam, ketika kedua-duanya sedang berada di bawah pengaruh dadah.



Mereka dipercayai sedang mengambil dadah ketika itu dalam sebuah bilik di rumah mereka. Hasil pemeriksaan lanjut polis terhadap rumah berkenaan menemui sebuah beg warna biru yang diletakkan di atas tilam tempat mereka ditahan.

Pemeriksaan selanjutnya dalam beg itu menjumpai 16 paket plastik lutsinar, masing-masing berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

Saringan kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif syabu.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati pasangan yang mempunyai lima anak terbabit dalam aktiviti mengedar dadah sejak awal tahun ini



“Suspek lelaki dikesan terbabit dengan penagihan dadah sejak 2013, manakala isterinya terbabit dengan dadah sejak 2018.

“Suspek lelaki didapati mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan dadah termasuk pernah ditangkap pada 2014, manakala isterinya mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan pernah ditangkap pada 2019 juga berkaitan dadah,” katanya.

Sumber berkata, dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan kepada penagih tempatan selepas bekalannya diperoleh dari negeri berjiran.

“Mereka disyaki mengedar di sekitar kawasan Kuala Perlis terutama pelantar ikan dan kawasan dalam Kampung Sungai Berembang di Simpang Empat.



“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 11 Jun hadapan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun hingga seumur hidup atau 10 kali sebatan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab, mengesahkan tangkapan pasangan terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button