Bukan tertekan kerana penyokong – Indra

KUALA LUMPUR: Jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya menegaskan tidak timbul isu anak didiknya, Lee Zii Jia tertekan beraksi di hadapan penyokong sendiri selepas tersingkir di pusingan kedua saingan Terbuka Malaysia, semalam.

Pemain nombor lima dunia itu ditunjukkan jalan keluar di hadapan ribuan penyokong sendiri di Axiata Arena Bukit Jalil selepas tewas di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh 66 minit.

Bagi Indra, dia percaya semangat juang Zii Jia, 24, tidak akan luntur di sebalik kekalahan yang dialaminya itu dan akan membantu pemain berkenaan untuk kembali bangkit melakar kejayaan pada kejohanan seterusnya.



“Sudah pasti Zii Jia mahukan yang terbaik apatah lagi bermain di hadapan penyokong sendiri yang begitu hebatnya. Saya fikir ia bukan tekanan sebaliknya sokongan diberikan penonton memberikan semangat kepada Zii Jia.

“Cuma apa yang saya lihat dalam perlawanan itu, Shesar mengawal permainan dengan baik berbanding Zii Jia dan itu membuatkan dia tertekan dan banyak melakukan kesilapan,” kata Indra kepada BH Sukan.

Kekalahan juara Asia itu menyaksikan tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki selepas dia menjadi wakil tunggal yang berjaya layak ke pusingan kedua selepas kekalahan Liew Daren dan Ng Tze Yong di pusingan pertama.

Lebih malang, harapan untuk melihat Zii Jia kembali merampas gelaran Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berkecai selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.



Chong Wei adalah pemenang terbanyak sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1937 dengan 12 gelaran bagi acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, ditanya sama ada Zii Jia akan menarik diri daripada beraksi dalam saingan Masters Malaysia yang akan bermula Selasa ini susulan kekalahan semalam, Indra berkata belum ada sebarang perbincangan berhubung perkara itu.

“Buat masa ini, saya akan persiapkan Zii Jia untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum kejohanan itu,” katanya.

Dalam dua kejohanan terakhir Zii Jia sebelum ini di Jakarta, menyaksikan dia mara sehingga suku akhir Masters Indonesia sebelum terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia.



Pada Mei lalu, dia berjaya merekodkan dua gelaran apabila mengungguli saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand di Bangkok.

Zii Jia sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memutuskan untuk menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi membolehkan dia memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan bermula pada 28 Julai hingga 8 Ogos Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun bakal berlangsung dari 22 hingga 28 Ogos.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button