Alasan untuk mengurut sebelum dicekup khalwat

Kulim: Seorang wanita memberi alasan hanya datang untuk mengurut secara sambilan sebelum dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah motel di daerah ini, kelmarin.

Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat berkata, wanita berstatus janda berusia 51 tahun itu ditahan anggotanya kerana disyaki berdua-duaan dengan lelaki terbabit dalam sebuah bilik motel berkenaan.

Beliau berkata, wanita dari daerah itu mempunyai lima anak dicekup berkhalwat pada jam 12.40 tengah malam kelmarin.

“Lelaki Bangladesh sekitar 30-an itu pula menetap di Sungai Petani dan hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri mengundang syak mereka disyaki berkhalwat,” katanya, di sini, semalam.

Anwar Shariffudin berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, seorang lelaki dicekup berkhalwat bersama pasangannya tanpa sebarang ikatan suami isteri di sebuah bilik di hotel sama pada jam 1.10 pagi.

Anwar Shariffudin berkata, lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Perak itu ditahan berdua-duaan dalam bilik itu bersama pasangannya yang berusia 24 tahun yang menetap di daerah ini.

Beliau berkata, mereka gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

“Dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya ,” katanya.

Anwar Shariffudin berkata, pemeriksaan cegah jenayah syariah itu dilakukan di kawasan tumpuan yang kerap menjadi lokasi pasangan bukan mahram menyewa di daerah ini.

METRO

Leave a Reply