Peralatan membersih rumah diperlukan mangsa banjir

BALING: Lumpur hampir setebal setengah meter di dalam rumah menyebabkan mangsa banjir terpaksa mengambil masa yang lama membersihkan kediaman mereka.

Tinjauan di Kampung Hangus, di sini mendapati kebanyakan penduduk masih lagi bertungkus-lumus membersihkan rumah biarpun kejadian banjir sudah tiga hari berlalu.

Mohd Zain Che Awang Mohd, 50, berkata dia trauma dengan kejadian Isnin lalu apabila terpaksa berada di atas bumbung rumah jirannya hampir tiga jam sebelum diselamatkan orang ramai.



“Apabila banjir sudah surut kami terpaksa pula bersihkan lumpur di dalam rumah, rasa lemah semangat apabila melihat lumpur tinggi hampir setengah meter.

“Kami pulang untuk membersihkan rumah pada pagi Selasa, habis barang dan perabot rosak dan ada yang dihanyutkan air, anak terpaksa menghubungi saudara-mara dan rakan mereka untuk membawa peralatan membersihkan rumah,” katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia kini sangat memerlukan peralatan untuk membersihkan rumah untuk kegunaan mereka sekeluarga selepas ini.

Katanya, rumah mereka dibersihkan dengan bantuan saudara-mara, rakan dan badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang membawa peralatan sendiri.



“Tiada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha buat kami sekeluarga, tiada apa yang tinggal untuk kami, sekarang kami hanya mengharapkan bantuan orang ramai.

“Proses membersihkan rumah dan lumpur ini mungkin perlukan masa dua minggu lagi, lumpur di depan rumah pun belum dibersihkan, dua orang anak saya mengalami luka di kaki akibat terkena atap zink di dalam lumpur ketika membersihkan rumah, semua ini kami perlu lalui dengan perasaan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata,” katanya sebak.

Sementara itu, Siti Hasnah Aziz, 38, berkata, keluarganya turut memerlukan peralatan membersihkan rumah termasuk mesin penyembur air bagi memudahkan mereka membersihkan dinding rumah.

“Air agak perlahan menyukarkan saya dan ahli keluarga untuk membersihkan rumah, setakat dua hari ini baru 50 peratus rumah dapat dibersihkan, masih ada kesan lumpur dan pasir di dalam rumah,” katanya yang mengambil cuti selama seminggu untuk membantu membersihkan rumah orang tuanya.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading