Hujan lebat, beberapa jalan utama digenangi air

GEORGETOWN: Beberapa laluan utama di sekitar Georgetown di sini, digenangi air berikutan hujan lebat pagi tadi.

Antara laluan terbabit ialah Jalan Perak, Jalan Masjid Negeri dan Jalan Residensi.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan aliran trafik bergerak perlahan di sebahagian kawasan pada jam 8 pagi.



Menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati laluan terbabit ialah di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menuju ke Jambatan Pulau Pinang dan ke arah Queensbay disebabkan hujan dan jumlah kenderaan yang banyak.

Turut terbabit ialah Lebuh raya Kampung Jawa ke Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Pykett, Lebuh raya Thean Teik, Jalan Mount Erskine dan Jalan Kebun Bunga ke Jalan Gottlieb.

“Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati ketika berada di luar rumah pada waktu hujan.

“Pengguna jalan raya juga diminta sentiasa berwaspada serta fokus kepada pemanduan dan merancang perjalanan,” menurut kenyataan itu.



Orang ramai yang mempunyai aduan mengenai banjir, tanah runtuh, pokok tumbang dan lain-lain, boleh menghubungi MBPP di talian 04-263 7000 atau 04-2637637.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Selangor, sehingga jam 11 pagi ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian banjir.

“Namun kita sentiasa bersiap sedia sekiranya terdapat banjir dan memantau lokasi terbabit,” katanya ketika dihubungi.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button