Rafizi Hanya Anggap Anwar Sebagai Liabiliti Parti

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa Rafizi Ramli menganggap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai liabiliti parti itu.

Katanya ini kerana Rafizi percaya bahawa latar belakang Ahli Parlimen Port Dickson itu termasuk pembebasan beliau dari penjara yang dilakukan menerusi pengampunan Agong akan memberi kesan kepada PKR.

“Apakah Rafizi mengiktiraf pengampunan itu? Masa itu Peguam Negara pun belum dilantik. Pastinya, bagi Rafizi Anwar adalah liabiliti pada PKR.

“Kalau Rafizi mahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masuk penjara, dia pun suka Anwar kekal dalam penjara. Pada Rafizi, Anwar adalah banduan. Cuma dia bebas kerana dapat pengampunan Agong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, kemunculan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam PKR terutama sebagai timbalan juga sudah tentu mencetuskan kebimbangan kepada Anwar bahawa Rafizi akan menyingkirkan dirinya.

Tambah Puad apatah lagi dengan kemenangan kem Rafizi dalam Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR juga seakan mengiyakan spekulasi tersebut.

“Menurut Anwar kemunculan balik Rafizi ke dalam PKR umpama bawa panadol tetapi dia (Anwar) makin pening kepala mana tak peningnya, gerakan Ayuh Malaysia tajaan Rafizi umpama gerakan ‘parti dalam parti’. Menurut Anwar, orang keliling Rafizi ramai yang bebal.

“Apatah lagi 13 daripada 20 orang MPP PKR dimenangi oleh kumpulan Rafizi. Ia adalah endorsement untuk terus menyisih Anwar.

“Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail guna solat berjamaah sebagai analogi boleh menegur tetapi kekal setia pada ketua tetapi pada Rafizi setia adalah membodek. Memang pening Anwar,” ujar beliau.

UMNO Online

One thought on “Rafizi Hanya Anggap Anwar Sebagai Liabiliti Parti

Leave a Reply