Disyaki berkhalwat kenal tidak sampai 24 jam

KULIM: Seorang lelaki berstatus suami orang, disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel, di sini, malam tadi, dipercayai selepas hanya berkenalan tidak sampai 24 jam menerusi aplikasi media sosial.

Mereka didapati berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel itu pada jam 10.15 malam, ketika serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

Malah dalam serbuan itu, lelaki terbabit ditemui bersembunyi di bawah katil untuk mengelak daripada dikesan anggota penguat kuasa tetapi gagal.



Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad, berkata lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai datang dari Perak kerana mempunyai urusan kerja sebelum bertemu wanita terbabit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan pasangan suami isteri atau mahram.

“Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.



“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anwar Shariffudin berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan, terutama di kawasan hotel yang disyaki menjadi tumpuan pasangan tiada ikatan suami isteri atau mahram, dalam usaha membanteras kegiatan maksiat di sekitar daerah ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button