TNB Johor akui berlaku ‘flashover’

Johor Bahru: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor mengakui berlaku percikan api atau ‘flashover’ di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng, tengah hari tadi.

Namun, Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth berkata, tiada pengguna atau kawasan di negeri ini terjejas dengan kejadian berkenaan.

“Ya berlaku ‘flashover’ di PMU Yong Peng tengah hari tadi, namun tiada pengguna di Johor yang terbabit dengan gangguan bekalan.



“TNB Ibu Pejabat akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai insiden ‘flashover’ ini,” katanya ketika dihubungi.

Tengah hari tadi, tular video berdurasi 25 saat yang mendakwa berlaku percikan api di PMU Yong Peng.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Mohamed Noh berkata, Johor tidak terbabit dengan masalah gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang berlaku di Lembah Klang dan beberapa negeri yang dilapor terputus bekalan ketika ini.



Bagaimanapun katanya, TNB Johor telah membuka bilik gerakan sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan elektrik sekiranya berlaku.

“Saya dimaklumkan sememangnya tiada gangguan secara besar-besaran yang akan terjadi di Johor buat masa ini.

“Jadi saya nasihatkan kepada semua pengguna supaya tidak panik dan seperti saya katakan kita telah mengaktifkan bilik gerakan seawal jam 1.22 petang petang lagi.

“Kita tunggu kenyataan daripada pihak ibu pejabat berkaitan perkara ini dan maklumat terbaharu nanti,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button