Atlet gimrama negara tak terjejas tanpa dua jurulatih Russia

BIRMINGHAM: Persiapan tiga atlet gimrama negara yang menjadi sandaran pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, tidak terjejas dengan isu sekatan kemasukan dua jurulatih kebangsaan dari Russia.

Pengurus pasukan gimrama negara, Corine Beh Yeat Chen berkata perkara itu sudah dibincangkan secara bersama antara mereka dan atlet sebaik saja isu itu berbangkit sebelum ini ketika membuat persiapan latihan di Mink, Belarus.

Katanya, tiga atlet terbabit iaitu Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan secara keseluruhannya sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan isu berkenaan apabila bertanding nanti.

“Kita sudah bersedia jika dua jurulatih berkenaan tidak dapat bersama nanti. Tetapi kami tetap berharap mereka akan dibenarkan masuk oleh kerajaan UK (United Kingdom).

“Sebenarnya, kami setiap malam ada berbincang mengenai persiapan pasukan termasuk mengenai isu babit dua jurulatih berkenaan ketika berlatih di Belarus.

“Dari segi mental, atlet kita sudah sedia berdepan pertandingan tanpa jurulatih. Namun kami tetap berharap, mereka (dua jurulatih) akan bersama kami nanti di Birmingham,” katanya ketika dihubungi di Belarus, hari ini.

Semalam akhbar ini melaporkan kontinjen negara yang menyertai temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, turut terkena tempias isu sekatan kemasukan warga Russia ke UK.

Ia selepas dua jurulatih gimrama negara yang juga warga Russia kini berdepan isu kelulusan visa tertangguh susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan negara berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pengurusan kontinjen negara sudah pun memenuhi semua proses keperluan pendaftaran seperti ditetapkan penganjur.

Malah katanya, mereka juga sudah mengemukakan surat rayuan kepada Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa berkenaan.

Sekiranya rayuan pengurusan kontinjen negara untuk mendapatkan visa bagi kedua-dua jurulatih ini tidak berjaya maka dua jurulatih tempatan akan dihantar menggantikan mereka.

Afrita Nasril dan Lim Wen Chean akan diterbangkan ke sini pada esok. Kedua-dua jurulatih berkenaan sudah didaftarkan ke dalam sistem kad akreditasi dan akan diarahkan menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

Mengenai persiapan tiga atlet negara di Belarus, Corine berkata ia satu pengalaman sangat berharga kerana memberi peluang negara bersaing dengan atlet terbaik dunia.

“Mereka menyertai pertandingan di sini, bersaing dengan atlet bertaraf dunia – sesuatu yang sangat kita nantikan bagi membantu meningkatkan prestasi mereka.

“Ya, selepas pertandingan itu, atlet kita dapat melakukan banyak peningkatan dan berupaya memperbaiki mana-mana yang kurang sebelum ke Birmingham. Kami cukup gembira,” katanya.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Sie Yan berjaya membawa pulang tiga perak dan satu gangsa menjadikan dia antara prospek utama untuk menyumbang emas pada temasya Sukan Komanwel 2022.

Gimnas berasal dari Pahang itu turut mendapat tonik terbaik selepas berjaya memenangi emas di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu dalam acara individual all-around

Selain Sie Yan, Persekutuan Gimnastik Malaysia turut meletakkan sandaran kepada Izzah dan Joe En dalam aparatus individu, individual all around dan berpasukan di Birmingham nanti.

Pasukan gimrama negara dijadual tiba di sini, esok dan bakal memulakan cabaran di Arena Birmingham pada 4 hingga 6 Ogos ini.

BHOnline

Leave a Reply