UMNO Putrajaya sokong Cuepacs isu gaji

Tengku Adnan Tengku Mansor.

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – UMNO Putrajaya sebulat suara menyokong desakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terhadap kerajaan berhubung semakan semula skim gaji penjawat awam.



Keputusan itu dibuat semalam dalam satu mesyuarat bahagian yang dipengerusikan Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapati skim gaji sedia ada telah lama tidak dibuat semakan serta tiada penambahbaikan.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya telah membuat penelitian dan merasakan perjuangan Cuepacs sewajarnya diangkat dan disokong banyak pihak ekoran penetapan gaji minimum pada takat RM1,200 sebelum ini hanya dibuat pada tahun 2013.

“Pemberian kenaikan gaji kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan di bawah sistem saraan Malaysia kali terakhir pula hanya dilaksanakan pada 15 tahun yang lalu (2007).

“Lebih membebankan apabila peningkatan kos sara hidup yang dirasai seluruh dunia sudah pasti dirasai semua termasuk penjawat awam,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini semalam.



Julai lalu, Presiden Cuepacs, Adnan Mat membuat gesaan terhadap kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum pembubaran Parlimen dan bersedia mengadakan piket sekiranya permintaan itu tidak diendahkan.

Dalam masa sama, Adnan turut memberitahu cadangan menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi masih belum ada sebarang tindakan diambil setakat ini.

Sementara itu, Tengku Adnan menegaskan gaji penjawat awam di negara Asia didapati lebih tinggi mengikut dapatan purata yang dikeluarkan Bank Dunia termasuk India, Korea, dan negara jiran Thailand.

“Kenaikan gaji tahunan yang dijanjikan Barisan Nasional ketika PRU ke-14 adalah wajar dipertimbang semula untuk menjaga kebajikan penjawat awam kerana peningkatan gaji adalah penting untuk membantu kawalan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.



“UMNO Putrajaya meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun kakitangan awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya.

Ujarnya, mesyuarat yang diadakan semalam itu juga memutuskan untuk turut serta berpiket bersama-sama Cuepacs sekiranya ia diadakan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button