‘Hantu’ diesel masih berkeliaran

Port Dickson: Biarpun operasi dan rampasan diesel subsidi dilakukan hampir setiap minggu namun daerah ini terus menjadi ‘lubuk’ sindiket penyelewengan bahan api berkenaan.

Terbaru polis daerah Port Dickson berjaya menahan empat lelaki yang didapati menyimpan kira-kira 11,400 liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM25,000 secara salah.

Rampasan itu adalah hasil risikan dan serbuan sepasukan anggota polis di sebuah premis Chuah dan Lukut, Port Dickson di sini, jam 10.30 pagi semalam.



Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek ditahan berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun.

“Ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori itu,” katanya semalam.

Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.



Aidi Sham berkata, suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki itu menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

“Apabila semua tangki itu sudah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual pada harga industri yang membolehkan sindiket memperolehi untung `atas angin’.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Pada 11 Ogos lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan berjaya menyita 17,000 liter diesel bernilai RM36,550 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di Lukut di sini.



Difahamkan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, menyerbu sebuah lokasi terpencil di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson dan menahan dua suspek.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button