Lewandowski lawan Bayern, Haaland jumpa Dortmund



ISTANBUL: Bayern Munich diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan pasukan disertai Robert Lewandowski, Barcelona pada majlis undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA di Istanbul.

Erling Haaland pula akan berdepan bekas kelabnya ketika Manchester City berada dalam kumpulan sama dengan Borussia Dortmund.

Bayern dan Barcelona juga akan menentang Inter Milan dalam Kumpulan C yang dilengkapkan dengan kehadiran juara Republik Czech, Viktoria Plzen.

Bayern menewaskan Barcelona 8-2 dalam suku akhir di Lisbon pada 2020, manakala kelab Catalan itu juga tewas 3-0 sebanyak dua kali kepada kelab Jerman itu musim lalu ketika mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.



Lewandowski, 34, ke Barcelona pada penutup musim dengan nilainya boleh bertambah kepada 50 juta euro (RM222.97 juta) selepas meledak 344 gol dalam lapan tahun di Bayern.

“Hanya dalam bola sepak cerita seperti ini boleh berlaku,” kata pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

“Barcelona semakin kuat. ‘Lewy’ di sana. Mereka melakukan sesuatu dalam fasa perpindahan. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik.”

Haaland meninggalkan Dortmund untuk bersama juara Liga Perdana, City pada penutup musim.



Kedua-dua pasukan itu juga akan bertemu selain Sevilla dan juara Denmark, FC Copenhagen dalam Kumpulan G.

City dan Dortmund kali terakhir bertemu pada suku akhir Liga Juara-Juara 2021 dengan skuad kendalian Pep Guardiola mara dengan agregat 4-2.

City juga menewaskan Sevilla sebanyak dua kali di peringkat kumpulan pada musim 2015/16.

Finalis tahun lalu, Liverpool akan berdepan Ajax, Napoli dan Rangers dalam Kumpulan A manakala juara bertahan, Real Madrid akan menentang Celtic selain RB Leipzig dan Shakhtar Donetsk dalam Kumpulan F.



Ia adalah musim ketiga berturut-turut Real dan Shakhtar diletakkan dalam kumpulan sama.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker