Datangmu tidak diundang, jika ragu sila pulang



Seri Iskandar: ‘Datangmu tidak diundang, jika ragu sila pulang’. Ayat keramat itu masih kekal berbekas di hati pesara komando Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) ini biarpun sudah dua dekad meninggalkan pasukan elit tentera itu.

Pegawai Waren II (B) Nor Muhamad Ahmad, 65, atau lebih dikenali Md Deka mengaku semangat patriotisme yang tersemai dalam dirinya semakin membuak setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan negara.

Lebih istimewa apabila dia berkongsi tarikh 31 Ogos dengan hari kelahirannya dan kerana perkongsian itu yang menarik minatnya untuk menyertai pasukan tentera pada 21 Jun 1976 serta berkhidmat dalam Gerup Gerak Khas setahun selepas itu.

“Sepanjang berkhidmat, saya sertai lebih lima operasi khas dan pernah dihantar bertugas di Bosnia selama setahun pada 1996.



“Saya takkan lupakan pertempuran dengan pengganas komunis susulan serangan hendap di Kroh (sekarang Pengkalan Hulu) pada 1979, yang menyebabkan kereta perisai diserang ketika mengiringi trak tentera dari Baling, Kedah.

“Ketika insiden itu tiga anggota tentera terkorban,” katanya yang berkongsi pasukannya dihantar ke lokasi itu untuk satu operasi memburu pengganas sehingga Sadao dan Yala, Thailand.

Nor Muhamad berkata, pasukan mereka menemui kem komunis yang teratur dan turut ada kebun sayur, namun mereka mengosongkan kawasan selain memasang jerangkap samar.

“Ketika itu bulan puasa dan saya sedang memasak bubur kacang untuk berbuka apabila rakan terpijak jerangkap samar yang menyebabkan buku lalinya hancur.



“Kejadian berlaku di hadapan mata saya dalam jarak kira-kira tiga meter saja dan cebisan daging kakinya juga terkena saya. Sebelum itu seorang lagi anggota turut cedera disebabkan jerangkap samar,” katanya yang pernah mengikuti kursus dengan askar British dalam penghasilan bom.

Bapa lima anak itu turut berkongsi kisah mengusung mayat komunis wanita selama dua jam untuk dibawa ke pos Polis Hutan ketika pertempuran dengan saki baki komunis dalam Op Kelong 4, Karak di Pahang.

Pada mulanya, komando bukanlah impian Nor Muhamad, tetapi dia mula meminati pasukan elit itu selepas melihat anggota komando lain melakukan terjunan.

“Berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan pula membuatkan saya bangga dan istimewa kerana menjadi salah seorang anak Merdeka,” katanya.



METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker