Soucek bantu West Ham ikat Tottenham

LONDON: Tottenham Hotspur kekal belum tewas dalam kempen Liga Perdana Inggeris kali ini, tetapi tampil kurang meyakinkan ketika seri 1-1 menentang seteru London, West Ham di Stadium London.

Spurs kendalian Antonio Conte mendahului di babak pertama hasil jaringan sendiri Thilo Kehrer, tetapi West Ham kembali menyamakan kedudukan menerusi Tomas Soucek di babak kedua.

Tottenham menikmati permulaan yang baik musim ini dengan menghuni tangga ketiga pada 11 mata selepas lima perlawanan. West Ham mengumpul empat mata.



“Saya rasa mungkin kami berhak mendapat keputusan lebih baik tetapi di akhir permainan mereka juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

“Ia bukan mudah menentang West Ham, pasukan yang fizikal dan kuat. Mereka bermain hantaran jauh dan anda perlu sentiasa berwaspada.

“Kami bermain baik dalam situasi bola mati, menggerakkan bola dengan kemas dan mencipta peluang jaringan,” kata Conte.

Tottenham dinafikan sepakan penalti oleh VAR selepas pengadil memberikannya apabila tandukan Harry Kane terkena Aaron Creswell.



Pengadil Peter Bankes membatalkan keputusan penalti awalnya selepas merujuk kepada ulang tayang VAR yang menunjukkan bola terkena kepala Creswell terlebih dahulu sebelum terkena tangannya.

Tottenham bagaimanapun mendahului permainan pada minit ke-34 hasil serangan balas dicetus oleh Dejan Kulusevski dan disusuli dengan hantaran lintang Kane kepada Son Heung-min.

Kehrer cuba mengeluarkan bola tetapi malangnya ia menerjah gawang sendiri. West Ham menyamakan kedudukan apabila hantaran Antonio disudahkan Soucek pada minit ke-55.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button