Lukisan mural tarikan baharu Sri Aman

Sri Aman: Lukisan mural sepanjang 209 meter bermotifkan beberapa ikon popular Sarawak pada benteng bukit Kubu Alice berdekatan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar, di sini, menjadi daya tarikan terbaharu di Sri Aman.

Antara ikon yang dilihat terkandung dalam motif lukisan mural itu ialah burung kenyalang, buaya Bujang Senang, burung merpati, peluncur ombak, paku pakis, ikan bulu dan alunan benak.

Lukisan mural itu dihasilkan oleh lima pelajar Fakulti Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Samarahan dan lima pelajar Fakulti ‘Applied and Creative Art’ Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sejak 24 Ogos sehingga ia selesai semalam.



Ketua projeknya, Muhammad Harith Azmi berkata, kawasan benteng Kubu Alice dipilih oleh pihak Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bagi tujuan lukisan mural memandangkan ia tumpuan ramai di bandar ini.

“Lukisan mural ini sebenarnya boleh disiapkan antara empat hingga lima hari. Bagaimanapun keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan projek berlangsung selama lapan hari.

“Pasukan kami menggunakan teknik stensilan untuk menghasilkan lukisan mural pada benteng terbabit dengan motif berkenaan pula dihasilkan melalui kemahiran tangan,” katanya.

Beliau berkata, penghasilan lukisan mural terbabit secara tidak langsung memperkenalkan seni kontemporari dalam kalangan komuniti setempat di Sri Aman dan seterusnya menarik minat mereka untuk mempelajarinya.



“Sehubungan itu kami berharap agar penduduk di Sri Aman dapat menghargai lukisan mural di benteng Bukit Alice dan menjaganya sebaik mungkin demi tujuan kecantikan bandar ini,” katanya.

Menurutnya, mereka juga merancang menghasilkan lukisan mural di luar kawasan Sri Aman seperti Kuching, Serian dan Betong jika diundang untuk berbuat demikian.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor diberi penghormatan melakukan simbolik perasmian lukisan mural petang tadi.

Hadir bersama, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Setiausaha MDSA, Tay Guan Huat dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Seni Kreatif UiTM cawangan Samarahan, Dr Valerie Michael.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading