Mahathir tidak tolak atau terima jika boleh jadi Perdana Menteri lagi sekali



SERDANG – “Saya tidak tolak atau tidak terima.”

Demikian jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya sama ada beliau mahu menjadi calon Perdana Menteri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, beliau telah diminta banyak oleh pihak agar menjadi Perdana Menteri semula, namun tidak bersedia berhubung perkara itu buat masa kini.

“Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh. Jadi pada waktu ini, saya tidak buat keputusan apa-apa saya tidak tolak atau tidak terima,” katanya dalam sidang akhbar selepas Konvensyen Pejuangnita di sini hari ini.



Ahli Parlimen Langkawi itu mengulas sama ada beliau bersedia untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya GTA menang dalam PRU15.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan, GTA tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti terlibat dalam rasuah dan terlibat kerajaan pintu belakang.

“Kita ada gerakan yang mencakupi empat parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang cintakan kepada tanah air ingin mengubah politik dan mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

“Jadi kita tidak akan bekerjasama dengan parti terlibat dalam rasuah dan mendirikan kerajaan pintu belakang,” katanya.



Mengulas perkembangan pendaftaran GTA, Dr. Mahathir memberitahu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberi maklum balas status pendaftaran itu pada bulan depan.

Namun beliau berharap pendaftaran gerakan itu diluluskan segera sebelum PRU15.

“Jangan sehari sebelum bubar Parlimen, kita tiada masa untuk gerakan kerja sebelum pilihan raya ke-15 nanti,” katanya.

© Utusan Online 





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker