Tun M kafirkan PAS



KUALA LUMPUR: Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS kini sudah menjadi parti ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan UMNO, parti yang pernah dikafirkan pemimpin mereka dahulu.

Bekas Perdana Menteri yang menjadi pemimpin tertinggi UMNO ketika parti itu ‘dikafirkan PAS’, menegaskan selagi parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak ‘menghapuskan’ dakwaan dibuat terhadap UMNO sebelum ini, ia memberi gambaran PAS kini bukan lagi parti Islam.

Dr Mahathir merujuk ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah. Namun pada 2019, PAS bekerjasama dengan musuh tradisinya itu atas semangat ‘perpaduan ummah’ menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

Kepada Dr Mahathir, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, meminta Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berhenti daripada berpolitik dengan membangkitkan isu yang sudah selesai dan tidak lagi berbangkit ketika ini.



Beliau menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanya bertujuan mengeruhkan suasana dengan menggunakan alasan sudah lapuk bagi memecah-belahkan usaha agenda penyatuan ummah sedang digerakkan parti itu.

“Soal kafir mengkafir sekarang sudah selesai dan tidak timbul lagi, jadi kenapa Dr Mahathir bangkitkan perkara yang sudah selesai, adakah beliau mempunyai niat suci dan bersih atau hanya untuk mengeruhkan suasana.

“Saya fikir beliau (Dr Mahathir) melakukan perbuatan untuk mengeruhkan suasana, berhentilah dan pandangan ke depan, tumpu kepada agenda perpaduan ummah,” katanya kepada BH hari ini.

Hashim turut menyelar tindakan Dr Mahathir kerana isu itu sudah lama selesai.



“Kenapa dia nak ungkit balik? Ada tak mana-mana orang dan pemimpin Umno, terutamanya masih mendakwa seperti dia?. Bagi saya, PAS kata UMNO itu kafir sudah selesai, kalau dulu sembahyang dua imam, sekarang sudah tidak berlaku lagi,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa PAS kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Katanya, sehingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

“Parti PAS ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu PAS kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.



“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin berkata, Dr Mahathir perlu berhenti bernostalgia kerana PAS tidak pernah mengkafirkan UMNO malah dalam Amanat Hj Hadi perkara itu tidak dibangkitkan.

Katanya, perkara itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin yang menjelaskan aqidah Islamiah dan perbincangan mengenai garis pemisah antara iman dengan kufur.

“Saya minta Dr Mahathir berhenti ….cukup-cukuplah membangkitkan perkara yang sudah berlalu sebaliknya fokus kepada isu semasa dan perpaduan ummah,” katanya.



Mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samadyang menyatakan PAS kini sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah, Hashim menyifatkan kenyataan itu satu tuduhan jahat kerana dengki dengan agenda perpaduan ummah yang dibawa parti itu.

“Kita pegang UMNO itu sebagai organisasi dan ia tidak boleh dianggap parti itu rasuah hanya kerana ada seorang yang melakukan kesalahan itu. Kita tak boleh anggap semua dalam UMNO itu tidak betul.

“Kita berkawan dengan sesiapa saja, apabila bersalah makan orang itu salah dan kalah dan kita tidak berkawan dengannya.

“Seperti kes Datuk Seri Najib Razak, apabila beliau dihukum dan didapati bersalah oleh mahkamah, tiada orang PAS yang membela, menangisi, meratapi atau buat bising dan duduk buat kacau. Kita hormati keputusan, hukuman perlu dilaksana dan kita tidak ganggu, itu sikap kita, sangat tidak adil jika kita kata PAS bersekongkol dengan penjenayah,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Khairil Nizam berkata, beliau tidak mahu memberi komen kerana Khalid bukanlah pemimpin politik yang relevan untuk diulas kenyataannya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker