Proses tuntut mayat juruterbang helikopter terhempas kecoh



IPOH – Suasana pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kecoh apabila petugas media yang hadir bagi membuat liputan proses tuntutan jasad juruterbang helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor minggu lalu dihalang menghampiri bangunan berkenaan.

Beberapa pengawal keselamatan yang bertugas mendakwa mereka mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berbuat demikian.

Lebih mengejutkan apabila petugas media yang mahu menggunakan tandas di blok bangunan Jabatan Forensik juga diekori dan ditunggu di luar pintu hingga selesai.

Sementara itu, wartawan Astro AWANI Perak, Abd. Razak Mohd. Ali, melahirkan rasa terkilan dengan kejadian itu.



“Sebelum ini tidak pernah timbul masalah seperti ini, kali ini begitu teruk sehingga tidak dibenarkan masuk. Kami bukan mahu mengganggu hanya berada di pekarangan Jabatan Forensik sudah memadai.

“Pelik apabila kami dikawal rapi lima pengawal keselamatan, seolah-olah macam kami ini pesalah.

“Kami memahami tugas semua pihak tetapi jika dihalang, bagaimana kami dapat melaporkan berita yang sahih dan telus kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, aduan telah diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan pihak hospital dalam mencari penyelesaian terbaik.



Sementara itu, jasad juruterbang helikopter jenis Eurocopter EC120B dikendalikan Tsz Kin Richard Chan, 58, telah dituntut isterinya pada pukul 11.15 pagi tadi.

Isteri mangsa dikenali sebagai Leung tiba di pekarangan Jabatan Forensik bagi urusan tuntutan jasad mendiang dengan menaiki Toyota Alphard pada pukul 10.40 pagi.

Wanita warga Hong Kong itu ditemani ahli keluarga dan majikan mendiang.

Leung ketika ditemui berkata, jasad mendiang suaminya akan dibawa ke tempat penyimpanan mayat sementara di Ipoh sebelum upacara pembakaran dijalankan esok.



Katanya, abu mayat mendiang akan di bawa balik ke Hong Kong dalam masa terdekat.

“Satu upacara akan dijalankan terlebih dahulu sebelum jasad suami dibakar dan abu mayatnya dibawa balik (ke Hong Kong),” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Operasi mengesan helikopter milik syarikat swasta itu dijalankan selepas gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada pukul 12.16 tengah hari, 11 September lalu.

Mayat Richard Chan berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit kurang 24 jam helikopter tersebut dilaporkan hilang daripada radar.



© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker