Adik ini cari internet sampai tunggang motosikal ke puncak bukit

Mohamad Daniel sedang mencari liputan internet untuk menyiapkan tugasan sekolahnya ketika ditemui di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan.

KUALA KRAI – Tujuh kampung di Mukum Mambong berhadapan dengan masalah capaian internet sejak lebih 20 tahun lalu sehingga menjejaskan hubungan dan komunikasi lebih 400 penduduk di kampung terbabit.

Akibat liputan internet yang lemah itu turut menyebabkan kebanyakan anak penduduk terpaksa menunggang motosikal ke puncak bukit dalam usaha mendapat capaian rangkaian telekomunikasi.

Tujuh kampung berkenaan adalah Kampung Sungai Rimau; Kampung Johol; Kampung Sri Tanjung; Kampung Sungai Pinggang; Kampung Sungai Raba; Kampung Bantuan: dan Kampung Pinchang.

Guru Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Saadatul Qura, Ramly Mat Isa, 59, berkata, masalah capaian internet yang kurang baik itu menyebabkan anak penduduk kampung, terutamanya pelajar sekolah menengah terpaksa menunggang motosikal sejauh 10 kilometer (km) untuk menyiapkan tugasan sekolah yang memerlukan internet.



“Ketiadaan liputan talian dan akses internet amat menyukarkan penduduk terutamanya pelajar sekolah yang kebanyakan bahan rujukan diperolehi daripada internet.

“Penduduk di kawasan ini sudah bertahun-tahun mengeluh dan meluahkan kesukaran berhubung isu ini kerana ia menyukarkan urusan harian kami dan saya sendiri ada ketika terpaksa menaiki bot ke Kampung Bahagia bagi mendapatkan liputan internet untuk menyiapkan tugasan sekolah.

“Sebelum ini, masalah sudah sering kali diadukan kepada pihak berkaitan, namun masalah ini masih berterusan sehingga kini dan seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui di Kampung Mambong, baru-baru ini.

Siti Azah Mat Yaacob, 50, berkata masalah berkenaan turut menyebabkan ibu bapa di kampung sukar berkomunikasi dan bertanya khabar anak yang berada di luar Kelantan.



“Anak saya yang belajar di institut pengajian tinggi (IPT) terpaksa menyewa rumah di bandar Kuala Krai kerana apabila pulang ke rumah menyukarkan dia menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Bukan itu sahaja, kami turut menghadapi masalah sekiranya berlaku musibah seperti kebakaran, kemalangan dan kecemasan untuk menghubungi pihak berkenaan bagi mendapatkan bantuan.

“Gunalah peranti secanggih mana sekali pun, jika masalah isyarat telefon dan capaian internet lemah, ia masih tidak akan dapat menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Saadatul Qura, Nur Ibtisam Ramly, 17, berkata, bagi menyiapkan tugasan sekolah, dia bersama adiknya Mohamad Daniel, 15, terpaksa menunggang motosikal untuk ke puncak bukit bagi mendapatkan capaian internet.



“Keadaan ini menyebabkan saya penat apabila terpaksa menunggang motosikal dan melalui jalan berbukit yang boleh membawa risiko, semata-mata untuk mendapatkan capaian internet. Malah sebuah bangsal turut dibina di atas puncak bukit untuk memudahkan mana-mana pelajar yang datang dan belajar dalam keadaan selesa.

“Kebiasaannya, selepas pulang dari sekolah, sekitar jam 3 hingga 5 petang, saya dan adik serta sepupu akan meluangkan masa selama dua jam di atas puncak bukit untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

“Masalah internet di kampung ini sudah berlaku sejak dahulu lagi kerana penempatan kami terletak di kawasan luar bandar,” katanya.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button