Dua atlet angkat berat Terengganu gagal doping

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak mengesahkan dua atlet angkat berat negeri itu antara tiga yang gagal dalam ujian doping dan tidak dibenarkan bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Beliau bagaimanapun, berkata masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai indentiti dua atlet yang terbabit itu dan tindakan lanjut akan diambil sebaik temasya berakhir.

“Memang ada atlet Terengganu yang terlibat tetapi saya sendiri pun tidak tahu nama kedua-dua atlet berkenaan.



“Jika ikut peraturan, setiap atlet yang didapati positif akan dilarang daripada menyertai SUKMA. Tindakan selanjutnya akan diambil apabila kita kembali ke Terengganu.

“Tengoklah sama ada atlet itu hendak buat ujian kali kedua atau pun apa-apa tindakan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam sempena SUKMA 2022, malam tadi.

Tun Ahmad Faisal mengakui kecewa dengan kontroversi yang menghantui dua atlet angkat berat negeri itu tetapi berharap ia menjadi pengajaran berguna bukan saja kepada kontinjen Terengganu tetapi atlet dari negeri lain juga.

“Setiap kali berlaku perkara seperti ini memang kita akan berasa kecewa kerana ia juga membabitkan sukan negara. Kami sudah pun mengambil langkah-langkah peringatan kepada semua atlet dan jurulatih untuk berjaga-jaga dengan apa-apa bahan yang diambil.



“Jangan sampai tersilap ambil, sebab sudah banyak kali alasan tersilap ambil, kita ingat ubat lelah atau ubat batuk. Jadi alasan sebegini kita sudah tidak boleh terima. Kalau sakit pun, kita kena ambil ubat-ubatan yang dibenarkan.

“Ini adalah pengajaran kepada kita dan juga kepada kontinjen lain juga. Harap pada SUKMA 2024 nanti, kes seperti ini semakin berkurang,” katanya.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan semalam berkata, badan induk itu menarik diri daripada mengendalikan sukan berkenaan pada SUKMA kali ini.

Ia susulan tiga atlet daripada dua negeri terlibat dengan penggunaan doping sekali gus memaksa PABM ‘mengundurkan diri’ daripada SUKMA berdasarkan ketetapan yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.



Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan ataupun persatuan negeri yang positif doping, maka penyertaan atlet berkenaan dan juga atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang ada diantara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button