Sambutan Hari Malaysia sarat pengisian – UUM

Oleh Azrin Muhammad

ALOR SETAR – Dalam era dunia tanpa sempadan yang serba canggih, gaya hidup manusia semakin pelik sehingga ada yang sanggup melakukan perkara terlarang seperti memfitnah dan mengambil hak orang lain.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara paling utama yang ditekankan ialah menghindari fitnah yang amat berbahaya sebagaimana Islam melarangnya.



“Hari ini, kebebasan yang kita kecapi hasil perjuangan nenek moyang kita, bukan tiada orang luar yang mahu musnahkan kita, tetapi kerana kesungguhan mereka berjuang mempertahankan negara, kita masih berdiri teguh.

“Andai kita berpecah maka robohlah segala impian, terlerailah segala harapan yang diletakkan jutaan rakyat khususnya terhadap UUM yang sepatutnya melahirkan generasi berguna,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Terdahulu, Dr. Haim Hilman menyertai Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat UUM di Dewan Mu’adzam Shah.

Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen UUM ke Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-44, penyerahan bendera dan jersi UUM-ABC Endurance Challenge 2022, serta pelancaran Kejohanan Sukan Staf UUM (SUKUUM) 2022.



Dalam masa sama, Dr Haim Hilman juga memberi ingatan kepada para pelajarnya agar tidak mengkhianati institusi dengan keputusan yang dibuat demi kepentingan diri serta tidak sesekali mengambil hak orang lain.

Tambahnya lagi, para pelajar perlu menjadi benteng kukuh untuk mempertahankan UUM walau apa jua badai yang melanda demi memastikan universiti yang dibina pada 38 tahun itu tetap teguh berdiri.

“Kita di sini bukan untuk bekerja biasa-biasa kerana kita membina agama, bangsa dan negara.

“Tanamkan semangat agar kita kembali kepada Pencipta dengan hati sejahtera. Jadilah pembela dan pahlawan yang mempertahankan institusi pengajian tinggi negara yang mulia,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button