Lima resolusi Wanita daripada program WoRLD

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) ketika berucap pada majlis penutup program WoRLD di Sepang, baru-baru ini.

Oleh Rohana Man

SEPANG – Sebanyak lima resolusi Wanita UMNO yang diputuskan dalam program Women Re-Energized Leadership Development (WoRLD) akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat ini.



Antara resolusi yang dibawa daripada program itu adalah seperti berikut:

1. Memastikan sekurang-kurang 30 peratus pencalonan Wanita dalam PRU-15.

2. Memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita dilantik di peringkat pembuat keputusan di GLC, GLIC, universiti, badan berkanun, agensi kerajaan dan kementerian.

3. Menubuhkan Akademi Kepimpinan Wanita untuk memastikan Wanita UMNO sentiasa mewujudkan saluran bakat kepimpinan Wanita tersedia bagi masa hadapan.



4. Mendorong anjakan minda daripada pemikiran negatif kepada positif dan dalam naratif berstruktur, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

5. Peralihan persepsi rakyat terhadap Wanita UMNO sebagai kumpulan pemikir yang merancang pendekatan strategik untuk kesejahteraan rakyat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, beliau akan membawa lima resolusi tersebut kepada Ahmad Zahid dan menegaskan bahawa sekiranya UMNO/Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak, calon-calon pemimpin Wanita yang menang mesti diberi keutamaan untuk memegang jawatan dalam Kabinet atau jawatan penting di peringkat persekutuan dan negeri.

Menurutnya, resolusi itu menyokong hasrat Wanita yang sekian lama berganding bahu dengan jentera parti termasuk parti komponen BN pelbagai peringkat untuk terus setia dalam usaha membantu kemenangan parti.



“Kita jatuh dan bangkit bersama. Kita tetap setia dengan UMNO.

“Kita pastikan UMNO/BN akan menang besar dalam PRU-15,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program WoRLD, di sini, semalam.

Program WoRLD berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 September lalu dengan tujuan untuk mengarus perdanakan perjuangan Wanita UMNO dalam menghadapi PRU-15.

Sementara itu, Noraini yang juga Pengerusi Wanita BN turut mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.



“Tahniah dan syabas kepada Sekretariat Profesional Wanita UMNO Malaysia yang mempunyai wawasan mengasah kepimpinan wanita, dalam mempersiapkan calon Wanita untuk PRU-15 akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, pemimpin Wanita UMNO yang menghadiri program tersebut telah memberi komitmen yang tinggi dan bertungkus lumus memastikan program itu berjalan lancar sehingga akhirnya menyumbang kepada kejayaan mencapai matlamat utama pemerkasaan kepimpinan Wanita UMNO.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button