Keputusan UMNO pecat dan gantung keahlian dibuat secara kolektif



KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa ahlinya dibuat secara kolektif serta musyawarah demi kepentingan parti semata-mata dan tidak melibatkan kepentingan mana-mana individu, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan itu diputuskan secara bersama demi kemaslahatan UMNO kerana sebarang anasir termasuklah anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti, memecah-belahkan atau mengganggu-gugat parti, perlu ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.

Beliau berkata menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

“Jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian. Seperti saya katakan, kini bukan masa untuk menoleh.



“UMNO mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini. Apa yang telah berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah tentang individu… UMNO adalah mengenai rakyat dan negara.

“UMNO adalah sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. Gunting dalam lipatan perlu dikekang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Presiden UMNO itu berkata mana-mana parti politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati.

Pada mesyuarat MT UMNO Jumaat lepas, parti itu memutuskan untuk memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, semalam media melaporkan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail mengesahkan beliau serta Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian parti selama enam tahun. – BERNAMA





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker