Yusof Wahab bawa seni silat ke China

Pelakon dan pengarah berpengalaman, Yusof Wahab, 61 tahun, terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan seni mempertahankan diri di Wilayah Shandong, China pada Jun tahun depan.

Namun, rakaman terpaksa dilakukan terlebih dahulu disebabkan penularan COVID-19 masih melanda China, ketika ini.

Rakaman seni persilatan dilakukan di pekarangan Istana Lama Seri Menanti, minggu lalu.



Menerusi rakaman video, Yusof segak berbusana Melayu tradisional memperkenalkan beberapa langkah gerak seni bela diri silat Melayu.

Pelakon era 1980-an yang dikenali menerusi filem Anak Sarawak itu berkata, ia adalah peluang terbaik untuknya menonjolkan persilatan Melayu ke persada antarabangsa.

Katanya, penyertaan itu diyakini mampu mengetengahkan seni warisan Melayu ke pentas dunia kerana membabitkan banyak negara dan pelbagai cabang seni termasuk wushu dan sebagainya.

“Saya diberikan tempoh selama 15 minit bagi rakaman seni persilatan dengan menampilkan empat gerak silat berbeza.



“Ini adalah kali pertama silat Kalung Jawa, diikuti Sayung Jawa dan Pelanduk Tunggal yang juga sejarah daripada pelanduk menendang empat anjing milik Parameswara ketika tiba di Melaka ditonjolkan.

“Langkah persilatan terakhir ialah tapak Cemanding bagi memenuhi tempoh masa ditetapkan,” katanya ketika ditemui sebaik tamat rakaman persilatan.

Sementara itu, Pengerusi NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn Bhd, Mazlan Goh Ahmad Goh yang juga penerbit video berkenaan berkata, rakaman itu menonjolkan Yusof dengan gerak seni bela diri silat Melayu yang menjadi satu daripada warisan kebudayaan negara ini.

“Kami memilih Yusof bukan sahaja berdasarkan pengalaman sebagai pengarah drama selama 22 tahun, malah berpengalaman dalam dunia persilatan lebih 50 tahun.



“Yusof mendalami lebih 10 jenis seni silat sejak berusia lapan tahun dan mempunyai pengalaman seni mempertahankan diri seperti karate, taekwando dan shaolin,” katanya menurut portal Berita Harian.

Mazlan berkata, pihaknya memilih latar belakang Istana Lama Seri Menanti sebagai lokasi penggambaran kerana mengandungi seni bina masyarakat Melayu yang unik dan tersendiri.

Katanya, pihaknya dimaklumkan lebih 300 pasukan akan menyertai pertandingan berkenaan.

“Kami memilih silat Melayu bagi membolehkan orang luar mengenali budaya masyarakat Melayu di Malaysia.



“Jika China ada seni mempertahan diri seperti kung fu dan wusyu, kita juga ada seni mempertahankan diri yang perlu dibanggakan.

“Seni silat ini juga peninggalan nenek moyang dan perlu dipromosi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, NQCC adalah syarikat produksi miliknya dan pernah mengendalikan program penerbitan ditayangkan di China Channel TV (CCTV) di China, sebelum ini.

Katanya, walaupun pertandingan tahunan bakal berlangsung tahun depan, penggambaran seni mempertahankan diri perlu dimulakan lebih awal sebagai persiapan.



Beliau berkata, penyertaan dalam pertandingan bukan sahaja membawa nama Malaysia pada mata dunia, tetapi lebih utama memperkenalkan seni budaya ke peringkat dunia.

“Ini juga permulaan memperkenalkan Malaysia menerusi seni mempertahankan diri berikutan produksi akan terbabit dengan penerbitan filem membabitkan seni mempertahan diri, tidak lama lagi.

“Penyertaan ini adalah satu peluang terbaik mempromosikan silat dalam filem Laksamana Cheng Ho,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, bukan kemenangan mahu difokus, tetapi berhasrat membolehkan masyarakat antarabangsa mengenali budaya masyarakat Melayu di Malaysia.



“Kami berharap pembabitan dan penampilan Yusof di pentas dunia membawa pulang kejayaan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

© Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button